KUALA TERENGGANU: Perikatan Nasional (PN) mengesahkan menerima beberapa permohonan daripada parti politik lain yang berminat menyertai gabungan berkenaan.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, permohonan tersebut termasuk daripada parti yang dianggotai ‘pemimpin besar’, namun semuanya masih dalam peringkat penilaian.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, PN telah meminta maklumat tambahan daripada parti-parti berkenaan bagi membolehkan pertimbangan dibuat secara menyeluruh.
“Kita ada menerima permohonan daripada parti-parti yang menyatakan minat untuk menyertai PN. Kita juga telah menghantar nota kepada mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut seperti jumlah keahlian, kekuatan jentera dan latar belakang organisasi.
“Maklumat ini penting supaya kita dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi PN,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Terengganu di sini, hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, keputusan berhubung permohonan tersebut dijangka dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dijadualkan berlangsung pada awal bulan depan.
“Permohonan secara rasmi memang telah diterima namun kelulusan hanya diputuskan dalam mesyuarat tersebut. Kita berharap semua pihak dapat berfikiran terbuka demi memperkukuh PN dengan penyertaan pelbagai parti,” ujarnya.
Mengulas mengenai kemungkinan penyertaan parti lain termasuk yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin, beliau enggan mengulas lanjut dan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkenaan.
Sementara itu, beliau mengesahkan surat berkaitan kekosongan jawatan Ketua Pembangkang telah dihantar kepada pihak berkaitan. – UTUSAN










