Tang Jie-Ee Wi buru kejuaraan China Masters

Tang Jie-Ee Wi buru kejuaraan China Masters

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei akan berdepan Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran di final China Masters hari ini.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menganggap kejayaan mereka menumpaskan beregu campuran No. 1 dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping pada separuh akhir China Masters, semalam sebagai satu proses pembelajaran.

Tang Jie berkata, dia dan Ee Wei ditimpa kekalahan sebanyak empat kali berturut-turut kepada Yan Zhe-Dong Ping selepas kali pertama berjaya menumpaskan pasangan China itu di Sukan Olimpik Paris pada tahun lalu.

“Kali terakhir kami menang ke atas mereka pada Sukan Olimpik, selepas itu kami kalah empat kali berturut-turut.

“Mereka merupakan gandingan handalan dunia dalam beregu campuran, walaupun kami menang, hari ini (semalam), tetapi masih banyak yang perlu dipelajari daripada mereka,” katanya ketika ditemu bual oleh wakil Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan berakhir.

Tang Jie-Ee Wei mengejutkan Yan Zhe-Dong Ping dalam perlawanan sengit yang diheret sehingga ke rubber set 22-24, 21-19, 21-17 dalam masa 1 jam 20 minit di Shenzhen Arena.

Pada perlawanan akhir, hari ini, Tang Jie-Ee Wei bakal berdepan pasangan No. 4 dunia, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dari Thailand.

Pemain berusia 27 tahun itu berkata, secara jujurnya memang sukar untuk dia ‘hadamkan’ bahawa mereka berjaya menumbangkan beregu No. 1 dunia itu.

“Saya memang tak boleh nak berfikir sekarang, tetapi, kami gembira kami berjaya mara ke perlawanan akhir,” katanya.

Sementara itu, Ee Wei pula berkata, kejayaan dia dan Tang Jie adalah disebabkan kata-kata nasihat jurulatih, Nova Widianto yang mahu mereka menjaga sikap ketika di dalam gelanggang.

“Jurulatih kami bukan mahukan kemenangan semata-mata, tetapi, apa yang lebih penting ialah bagaimana perwatakan kami ketika di dalam gelanggang,” katanya.

Justeru, anak kelahiran Melaka itu memberitahu, tidak kira sama ada mereka sedang mendahului ataupun sebaliknya, apa yang paling penting ialah fokus kepada setiap mata yang dikutip.

“Mereka mahu kami kekal serius untuk setiap mata yang diraih, tidak kiralah kami atau lawan yang berada di hadapan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN