Tang Jie-Ee Wei tarik diri demi Jelajah Eropah

Tang Jie-Ee Wei tarik diri demi Jelajah Eropah

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menarik diri daripda Terbuka Korea yang bermula semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu campuran utama negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terpaksa menarik diri daripada Terbuka Korea, kelmarin susulan masalah kecederaan belakang yang dialami Ee Wei.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky menjelaskan kecederaan yang menimpa Ee Wei tidak serius, namun tetap perlu diberi perhatian bagi mengelak ia menjadi lebih teruk.

“Dia hanya berasa sedikit ketegangan pada bahagian belakang, tetapi tidak terlalu serius,” kata Rexy kepada Utusan Malaysia.

Menurut Rexy, keputusan itu dibuat bagi membolehkan Ee Wei memberi tumpuan kepada proses pemulihan sebelum menghadapi siri kejohanan penting di Eropah bulan depan.

“Dia menarik diri dari Korea untuk memberi persiapan lebih baik menjelang Jelajah Eropah,” jelasnya.

Pasangan No. 4 dunia itu tiba di Korea Selatan kelmarin, namun terpaksa menarik diri dan pulang ke tanah air bagi menjalani pemeriksaan lanjut.

Jelajah Dunia BWF akan beralih ke Eropah bermula dengan Terbuka Arctic (Super 500) dari 7 hingga 12 Oktober, disusuli Terbuka Denmark (Super 750) pada 14 hingga 19 Oktober.

Seterusnya Terbuka Perancis (Super 750) akan berlangsung dari 21 hingga 26 Oktober serta Terbuka Hylo (Super 500) pada 28 Oktober hingga 2 November.

Terdahulu, Ee Wei turut berdepan masalah belakang ketika aksi final China Masters 2025 menentang gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran, Ahad lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN