PETALING JAYA: Skuad bawah 23 (B-23) negara membuka kempen Kelayakan Piala Asia B-23 2026 dengan langkah kiri apabila kecundang 0-1 kepada Lubnan, sebentar tadi.
Dalam aksi di Stadium Thammasat, kedua-dua pasukan menampilkan aksi seimbang pada awal permainan apabila terikat tanpa sebarang jaringan sehingga babak pertama berakhir.
Pada babak kedua, skuad kendalian Nafuzi Zain menggandakan asakan untuk mencari gol dan peluang terbaik hadir menerusi penyerang Sabah FC, Fergus Tierney pada minit ke-54.
Bagaimanapun, rembatannya sedikit tersasar tersasar dan berselang minit kemudian, percubaan menarik Aliff Izwan berjaya dinafikan oleh penjaga gol Lubnan, Anthony Maasry.
Ketika sibuk mengasak kubu lawan, skuad negara dikejutkan dengan jaringan Ali El Fadl pada minit ke-84, sekali gus menyaksikan perlawanan berakhir dengan Malaysia tumpas 0-1.
Kekalahan itu menyaksikan anak buah Nafuzi menempah laluan sukar untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2026 yang akan berlangsung di Arab Saudi.
Berdasarkan format pertandingan, hanya juara kumpulan dan empat naib juara terbaik daripada 11 kumpulan akan layak ke pusingan akhir, tahun depan.
Skuad negara akan berdepan Mongolia pada Sabtu ini sebelum menutup kempen Kumpulan F menentang tuan rumah, Thailand pada 9 Semptember dengan semua perlawanan berlangsung Stadium Thammasat.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia layak ke Piala Asia B-23 ialah di Qatar pada 2024 dan pencapaian terbaik negara di kejohanan itu ialah mara ke suku akhir pada edisi 2018 di China.- UTUSAN