Simbu rangkul emas dengan penamat foto bersejarah

Simbu rangkul emas dengan penamat foto bersejarah

Atlet Tanzania, Alphonce Felix Simbu (kiri) dan atlet Jerma, Amanal Petros melepasi garisan penamat dalam maraton akhir lelaki semasa Kejohanan Olahraga Dunia di Tokyo semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Alphonce Felix Simbu mencipta sejarah sukan Tanzania apabila merangkul pingat emas maraton dunia dalam penamat foto paling dramatik di Stadium Nasional Tokyo, semalam.

Pelari berusia 33 tahun itu menewaskan wakil Jerman, Amanal Petros hanya dengan beza tiga per seratus saat selepas menamatkan 42.195 kilometer (km) dalam catatan sama 2 jam 9 minit 48 saat (s).

Simbu yang sebelum ini meraih gangsa di London 2017 mengakui dia sendiri tidak pasti siapa pemenang sebaik memasuki stadium sehingga keputusan rasmi dipaparkan di skrin.

“Apabila kami masuk ke stadium, saya tidak pasti sama ada saya akan menang.

“Saya hanya lega selepas melihat nama saya di kedudukan teratas di skrin dan saya tahu saya telah membuat sejarah untuk Tanzania,” kata Simbu.

Kemenangan itu menafikan hasrat Petros yang mendahului sehingga ke garisan penamat sebelum rebah melakukan terjunan sia-sia untuk cuba mempertahankan kedudukan.

Atlet kelahiran Eritrea itu akur dengan nasibnya selepas tewas tipis kepada Simbu.

“Seperti larian 100 meter, saya fikir saya akan menang, jadi sedikit rasa sedih, tetapi saya perlu terima dan belajar untuk hari esok,” kata Petros.

Pingat gangsa menjadi milik Iliass Aouani dari Itali dengan catatan 2:09.53s selepas dua pelari Ethiopia, Tadese Takele dan Deresa Geleta yang digelar pilihan utama gagal menamatkan perlumbaan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN