ALOR SETAR: Ahli-ahli Pas termasuk pemimpinnya diminta mengelakkan penggunaan perkataan seperti ‘kafir’ dan ‘pendatang’ kerana ia boleh menyinggung perasaan bukan Islam.
Ketua Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) Selangor, K Deepakaran berkata, wujud segelintir kecil ahli Pas yang menggunakan istilah sebegitu walaupun ia jelas membawa kesan negatif terhadap usaha merapatkan hubungan antara parti itu dengan masyarakat bukan Islam.
“Kami ingin mengingatkan dengan penuh kasih sayang, kepimpinan parti di semua peringkat mesti berhati-hati menggunakan bahasa. Jangan ada istilah yang boleh mengguris hati mana-mana pihak.
“Rakyat Malaysia mahukan politik yang mendamaikan, bukan yang memecahkan,” katanya ketika berucap pada Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-71, di Kompleks Pas Kedah, di sini, hari ini. – UTUSAN










