Daripada 10 pengundi, enam bukan ahli Pas

Daripada 10 pengundi, enam bukan ahli Pas

AZAMUDDIN SAHAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pas bukan lagi sebuah parti yang hanya berjuang untuk ahlinya semata-mata tetapi telah menjadi parti untuk rakyat secara keseluruhannya.

Perwakilan Dewan Pemuda Pas, Azamuddin Sahar berkata, pada pilihan raya umum (PRU) lalu, hanya 40 peratus pengundi yang mengundi calon Pas ialah ahli berdaftar manakala 60 peratus lagi datang daripada luar kelompok keahlian.

Katanya, pola pengundian pada PRU lalu jelas menunjukkan sokongan terhadap Pas jauh melangkaui sempadan tradisi penyokongnya.

“Ini bermakna, daripada setiap 10 orang yang menyokong kita, hanya empat orang ialah ahli, manakala enam lagi bukan ahli,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Pas di Muktamar Tahunan Ke-71 di sini, hari ini.

Menurut Azamuddin, perkembangan itu membuktikan Pas telah berubah menjadi gerakan politik yang lebih luas, bukan lagi terikat kepada akar umbi semata-mata.

“Pas kini tampil sebagai parti yang mendapat kepercayaan dan sokongan rakyat pelbagai lapisan tanpa mengira latar belakang, jauh melangkaui kerangka lama politik kepartian,” katanya.

Azamuddin berkata, Pas tidak boleh lagi menggunakan pendekatan politik lama yang sudah tidak relevan untuk mendekati generasi muda hari ini, sebaliknya perlu menguasai media sosial yang kian berkembang pesat.

Beliau berkata, ruangan tersebut merupakan gelanggang sebenar politik generasi semasa berbanding kaedah lapuk.

“Medan anak muda hari ini berada di media sosial seperti TikTok, Instagram, audio siar (podcast), malah dalam perbincangan santai di kafe-kafe. Inilah gelanggang sebenar politik generasi semasa.

“Jika kita mahu menang PRU, kita mesti menang di ruang maya anak muda, kuasai media kerana apabila kita berjaya dalam hal itu, kita akan dapat menguasai minda mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN