SEREMBAN: Sasaran rasmi pingat kontinjen negara untuk Sukan SEA 2025 dijangka hanya diumumkan pada bulan November depan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, perkara itu masih dalam penelitian dan belum dimuktamadkan.
“Sepertimana dinyatakan sebelum ini, sasaran pingat bagi Sukan SEA 2025 ditetapkan mengikut jumlah keseluruhan, bukan mengikut pingat emas, perak dan gangsa. Ini berdasarkan cadangan dan saranan pakar dari Nippon Sports Science University (NSSU) di Jepun.
“Penentuan jumlah keseluruhan pingat akan diumumkan kepada umum menjelang November, sekarang ini belum ada,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perasmian Kejohanan Wushu Wanita ASEAN-China 2025 yang disempurnakan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Presiden Persekutuan Wushu ASEAN-China, Datuk Dr. Chong King Fatt dan Setiausaha Agung Persekutuan Wushu Antarabangsa, Zhang Yuping.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Hannah memberitahu, kementerian itu giat melaksanakan projek pembangunan infrastruktur sukan di seluruh negara.
“Setiap tahun kita berusaha memastikan pembangunan infrastruktur sukan diturunkan di setiap negeri. Cara permohonan saya pernah jelaskan dalam Parlimen, untuk kita bina apa-apa, fasiliti tanah yang mahu digunakan mestilah milik kerajaan Persekutuan serta mendapat persetujuan kerajaan negeri.
“Kerana kita tak nak yang pemohon… saya bagi contoh di mana Ahli Parlimen mahu membina stadium tetapi kerajaan negeri tidak bersetuju… ini kerana ada pengalaman kita kerajaan negeri tidak terima untuk penyelenggaraan. Ini semua perlu dibincang dengan kerajaan negeri,” katanya.
Ujar beliau, di Negeri Sembilan terdapat 15 projek pembangunan yang dilaksanakan pada tahun ini, dengan kos keseluruhan RM144 juta.
“Daripada jumlah itu, empat projek telah siap, lima dalam pelaksanaan manakala enam lagi dalam prapelaksanaan,”katanya.-UTUSAN.











