Saliba watak penting Arsenal

Saliba watak penting Arsenal

WILLIAM Saliba memainkan peranan besar di pertahanan Arsenal.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengakui konsistensi dan kematangan William Saliba banyak membantu The Gunners melakar kejayaan dalam tiga musim terakhir.

Jurulatih kelahiran Sepanyol itu gembira selepas Saliba kekal di Emirates sehingga 2030 selepas menandatangani lanjutan kontrak jangka panjang untuk terus Bersama Arsenal.

“Harapnya semua orang di dunia, termasuk Arsenal akan melaporkannya dengan segera dan itulah yang saya harapkan (lanjutan kontrak),” kata Arteta menjelang perlawanan menentang Newcastle, hari ini.

Saliba menyertai Gunners pada 2019 tetapi dipinjamkan ke beberapa kelab sebelum menjadi pemain tetap dalam pasukan kendalian Arteta sepanjang musim 2022/23.

Sejak itu, pemain antarabangsa Perancis berusia 24 tahun itu menjadi tunjang utama dalam pasukan Arsenal yang menamatkan musim di tempat kedua dalam Liga Perdana Inggeris selama tiga musim berturut-turut.

Bersama Gabriel Magalhaes, Saliba membentuk gandingan pertahanan tengah yang dianggap antara terbaik di bola sepak Eropah, ketika Arsenal kembali menjadi pencabar kejuaraan utama.

“Dia sangat penting dalam segala yang kami capai dalam beberapa tahun kebelakangan ini.vAdalah sesuatu yang hebat untuk melihat ramai pemain bersemangat dan bertekad untuk datang ke kelab ini.

“Ini menunjukkan mereka gembira, mereka rasa dihargai dan melihat ini sebagai peluang terbaik untuk meneruskan kerjaya mereka dan memenuhi cita-cita kelab. Ia sangat mengagumkan apa yang dia capai pada usianya.

“Tetapi konsistensinya, cara dia berkembang, saya rasa cara dia matang sebagai individu dan peranannya dalam pasukan juga semakin besar tahun demi tahun. Dia sangat penting untuk itu,” kata Arteta.

Arsenal tidak boleh lagi kehilangan mata di St James’ Park malam ini kerana skuad Arteta kini sudah ketinggalan lima mata di belakang juara bertahan, Liverpool, hanya selepas lima perlawanan musim ini.

Arsenal tewas dalam tiga kunjungan terakhir mereka ke Newcastle dan Arteta sedar mereka perlu mengubah rekod buruk itu.

Arteta mungkin akan dapat menurunkan kapten, Martin Odegaard, selepas pulih daripada masalah bahu, tetapi pemain baharu, Noni Madueke, mungkin akan terpaksa berehat sehingga dua bulan selepas mengalami kecederaan lutut.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN