PETALING JAYA: Pengarah kejurulatihan beregu negara, Rexy Mainaky mengakui Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal mengurus tekanan meskipun tampil dengan rekod cemerlang sepanjang musim ini.
Menurutnya, keyakinan tinggi selepas meraih tiga kejuaraan daripada lima final sebelum ke Kejohanan Dunia di Paris, Perancis memakan diri kerana mereka terdesak mahu mengulangi kejayaan dunia pada 2022.
“Dari pusingan awal lagi hingga ke suku akhir, Aaron-Wooi Yik tidak berada di tahap terbaik, malah tekanan untuk ulangi kejayaan 2022 jelas menjejaskan rentak mereka.
“Mereka terlalu yakin dengan keputusan tiga gelaran musim ini, tetapi bila berdepan situasi getir, mereka tidak cukup tenang untuk tunjukkan aksi sebenar,” kata Rexy kepada Utusan Malaysia.
Kritikan tersebut hadir selepas beregu No. 2 dunia itu tersingkir pada peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Dunia kepada gandingan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.
Kekalahan itu sukar diterima memandangkan Aaron-Wooi Yik memiliki rekod kemenangan 11 daripada 14 pertemuan dengan beregu India itu, termasuk dua kejayaan tahun ini di Terbuka Singapura dan China.
Bagaimanapun, pencapaian itu hanya angka di atas kertas kerana Aaron-Wooi Yik gagal memberi tentangan dan persembahan hambar mereka membuka persoalan besar tentang kemampuan sebenar menghadapi cabaran berprofil tinggi.-UTUSAN