BUENOS AIRES: Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada bakal hilang seri tanpa kelibat Lionel Messi yang berisiko tidak menyertai kejohanan berprestij itu.
Messi menimbulkan tanda tanya mengenai penyertaannya di Piala Dunia 2026 meskipun meledak dua gol ketika membantu Argentina menewaskan Venezuela 3-0 dalam aksi kelayakan, kelmarin.
Kapten berusia 38 tahun itu mengakui masih ragu-ragu untuk beraksi di pentas terbesar bola sepak dunia tahun depan berikutan faktor usia, masalah kecederaan dan risiko terlepas aksi bersama Inter Miami.
“Sebelum ini saya sudah nyatakan, secara logiknya agak sukar untuk saya bermain di Piala Dunia ketika berusia 39 tahun.
“Memang sembilan bulan lagi nampak dekat, tapi sebenarnya tempoh itu agak panjang dan saya bimbang tidak bersedia,” kata Messi selepas perlawanan di Stadium Monumental.
Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, turut mengesahkan Messi tidak akan dibawa ke perlawanan terakhir kelayakan menentang Ecuador di Guayaquil pada Selasa ini bagi memberi ruang kepadanya berehat.
“Apabila saya rasa cergas, saya menikmatinya. Tetapi jika tidak, ia sangat menyakitkan dan saya lebih rela tidak bermain. Jadi kita lihat nanti bagaimana keadaannya,” kata Messi mengenai tahap kecergasannya.
Argentina yang juga bertahan sudah mengesahan tempat ke Piala Dunia 2026 dan menjadi negara Amerika Selatan pertama layak ke kejohanan empat tahun sekali itu.
Skuad bimbingan Scaloni kini menerajui carta kelayakan Amerika Selatan apabila mengumpul 38 mata daripada 17 perlawanan, manakala Brazil di tangga kedua dengan 28 mata.- AGENSI