Pemain JDT perlu elak kesilapan mudah

Pemain JDT perlu elak kesilapan mudah

Ketua Jurulatih JDT Xisco Munoz bersama pemain Hong Wan pada Sidang Media menjelang Kejohanan Kelab Bola Sepak ASEAN  Piala  Shopee menentang Bangkok United di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri disini. UTUSAN/KOSMO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) sedia memburu kemenangan kedua dalam aksi Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) Piala Shopee ketika melayan kunjungan Bangkok United di Stadium Sultan Ibrahim, petang ini.

Bagaimanapun, pengendalinya, Xisco Munoz percaya kemenangan itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk diraih setelah kelab Thailand itu dibarisi ramai pemain berkualiti dan mampu memberi tentangan hebat bagi meraih tiga mata.

Katanya, pemain Harimau Selatan diingatkan untuk memberi tumpuan penuh di atas padang dan tidak melakukan kesilapan mudah yang boleh menjejaskan misi memburu tiga mata.

“Selepas berpesta gol 8-0 ke atas Sabah FC, pemain perlu mengekalkan rentak kemenangan itu walaupun ia pertandingan yang berbeza, namun mereka perlu memberi persembahan terbaik dan mengekalkan disiplin sepanjang perlawanan.

“Pemain harus mempunyai keyakinan tinggi untuk beraksi dengan lebih baik dengan mempamer corak berintensiti tinggi bagi memburu kemenangan kedua dalam peringkat kumpulan ACC Piala Shopee.

“Corak permainan yang bakal ditampilkan Bangkok United kemungkinan sama seperti Buriram United namun kami akan berusaha mengatasinya dengan memberi aksi yang berkualiti,” katanya.

Pada 21 Ogos lalu, JDT membuka kempen ACC Piala Shopee dengan kemenangan setelah menewaskan Lion City Sailors 3-1 hasil dua jaringan Joao Figueiredo dan satu gol lagi dihasilkan Arif Aiman Hanapi.

Munoz masih berteka teki pemain yang akan diturunkan, namun menjelaskan setiap pemain yang bakal diturunkan mampu memberi menjalankan tugas mengikut perancangan ampuh yang diterapkan.

Beliau tidak mahu skuad Harimau Selatan mengulangi kesilapan apabila tewas 1-2 kepada Buriram United dalam aksi pertama Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) disebabkan hilang fokus.

“Senario itu tidak akan berulang pada aksi ACC Piala Shopee berdepan Bangkok United. Kita juga sudah mengkaji kekuatan dimiliki lawan. Kami juga sudah membuat persiapan rapi termasuk pemain yang perlu dikawal, ini sebagai persiapan bagi mencipta kemenangan kedua,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN