PETALING JAYA: Faktor psikologi dan ketenangan beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah menunjukkan mereka kini semakin hampir menyaingi dominasi pasangan China.
Ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak berkata, kematangan Pearly-Thinaah terserlah apabila mereka tidak mudah goyah meskipun taktikal tidak menjadi.
Sebaliknya, pasangan yang muncul sebagai naib juara dunia di Paris, pada minggu lalu itu berani mengubah corak permainan tanpa dipengaruhi emosi yang mengganggu permainan.
“Kematangan menghadapi kesukaran, itu perubahan paling besar yang saya nampak daripada Pearly-Thinaah sekarang.
“Kadang-kadang bila permaian tak jadi, pemain akan ‘down’, tetapi mereka berani menukar taktikal tanpa emosi, itu yang membezakan mereka di final.
“Kematangan itu bermaksud mereka sanggup menerima apa yang tiada, dan berani mengubah corak permainan mengikut situasi semasa, bukan hanya bermain satu arah,” kata Rosman.
Beregu No. 2 dunia itu terpaksa akur selepas tunduk kepada pasangan No. 1 dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning dengan keputusan 14-21, 22-20, 17-21 dalam final Kejohanan Badminton Dunia di Arena Adidas, Paris.
Namun, persembahan tiga set yang penuh sengit itu menjadi bukti jelas bahawa Pearly-Thinaah kini semakin hampir meruntuhkan dominasi gergasi dari China.
Pertemuan itu menyaksikan kali kelima Pearly-Thinaah berdepan Liu-Tan dalam final, dengan satu-satunya kemenangan pernah dicatat di Terbuka Hong Kong tahun lalu.
“Psikologi memang penting, tetapi kalau psikologi kuat tanpa kematangan pun tidak berguna kerana pemain perlu berani menerima kekurangan dan menukar corak permainan mengikut keadaan,” tambah Rosman.-UTUSAN










