LONDON: Pengurus Everton, David Moyes memuji sumbangan Jack Grealish ketika membantu pasukannya menewaskan Wolves 3-2 di Molineux, kelmarin.
Grealish, yang menyertai Everton secara pinjaman selepas bergelut mendapatkan minit permainan di Manchester City, dilihat kembali ke prestasi sebenar dan menjadi pemain terbaik di padang ketika Everton mencatatkan kemenangan kedua.
Pemain berusia 29 tahun itu terbabit dalam ketiga-tiga gol Everton, dengan dua bantuan jaringannya menambah jumlah kepada empat selepas dua yang dilakukan minggu lalu di laman sendiri menentang Brighton and Hove Albion.
Ia adalah persembahan penuh kreativiti yang pernah memberikannya 39 kaps bersama England, tetapi jarang dipamerkan ketika melalui detik mengecewakan di bawah kendalian Pep Guardiola di Manchester City.
“Pujian terbesar yang boleh saya berikan kepada Jack ialah dia sebenarnya lebih baik daripada apa yang saya sangkakan.
“Prestasi Jack sepenuhnya adalah kerana dirinya. Saya tidak mahu ambil kredit itu. Dia masih ada sesuatu untuk dibuktikan, saya pasti. Jack mahu menunjukkan dia seorang pemain yang bagus.
“Dia memberikan perbezaan besar dalam pelbagai cara sama ada melalui bantuan jaringan atau kewujudannya di atas padang,” kata Moyes.
Everton kini mengumpul enam mata daripada tiga perlawanan awal musim dan Moyes berkata sasaran pasukan haruslah layak ke saingan Eropah jika mereka berjaya menambah pemain sebelum jendela perpindahan ditutup.
“Kelab seperti Everton sepatutnya sentiasa mencabar tempat ke Eropah, tiada gunanya sekadar berkata mahu elak penyingkiran. Kami perlu memberikan penyokong sesuatu untuk mereka percaya.”
Sekiranya Grealish terus mengekalkan prestasi seperti permulaan musim ini, ia mungkin membuka peluang untuk dirinya kembali dalam perebutan tempat ke Piala Dunia tahun depan bersama England.-AGENSI