PETALING JAYA: Pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim menyifatkan kegagalan skuad bawah 23 (B-23) negara ke Piala Asia B-23 2026 sebagai ‘satu kegagalan mutlak’ program pembangunan bola sepak Malaysia.
Beliau menegaskan, kegagalan demi kegagalan di peringkat B-16, B-19 dan terbaharu B-23 jelas menunjukkan sistem pembangunan bola sepak negara tidak menghasilkan barisan pelapis berkualiti.
“Kita gagal di B-16, gagal di B-19 dan kini gagal lagi di B-23. Ini adalah kegagalan mutlak program pembangunan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Zulakbal, penutupan liga B-23 serta ketiadaan pelan pembangunan menyeluruh di peringkat akar umbi hingga ke tahap elit menambah parah prestasi bola sepak tanah air.
Zulkabal turut menegur kelemahan struktur liga domestik yang dilihat tidak membantu melahirkan bakat baharu dengan kebenaran 15 pemain import menyebabkan peluang pemain tempatan terhad, khususnya B-23.
“Sepatutnya diwajibkan sekurang-kurangnya tiga pemain B-23 beraksi dalam kesebelasan utama. Tetapi dengan kuota import begitu banyak, bakat muda kita semakin terpinggir,” jelasnya.
Tambahnya, Malaysia ketinggalan jauh berbanding negara jiran seperti Vietnam, Thailand dan Indonesia yang memberikan lebih banyak pendedahan antarabangsa kepada pemain muda.
“Kita tidak serius mempromosikan pemain ke liga luar. Sedangkan pengalaman bermain di peringkat antarabangsa terbukti melahirkan pemain matang. Itu yang kita kurang,” katanya.-UTUSAN