Kuartet 4x100m yakin naik podium tanpa Azeem

Kuartet 4x100m yakin naik podium tanpa Azeem

PENGIRAN Aidil Auf Hajam (depan) mengatasi pelari dari Singapura untuk mengungguli acara 200m dengan cacatan masa 21.42s dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kuartet 4×100 Malaysia yakin mampu merangkul pingat dalam acara itu di Sukan SEA 2025 meskipun tanpa kehadiran jaguh pecut negara, Mohammed Azeem Fahmi.

Azeem hampir pasti tidak dapat menyertai Sukan SEA 2025 di Thailand, hujung tahun ini kerana terikat dengan perjanjian bersama universitinya di Amerika Syarikat (AS).

Pengiran Aidil Auf Hajam berkata, dia bersama pelari lain di dalam ‘team A’ iaitu Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa dan Danish Iftikhar Muhammad Roslee yang sudah menjalani latihan di kem sejak 18 Ogos lalu.

Bintang muda berusia 20 tahun dari Sabah itu berkata, pada masa ini, dia juga yakin dan akan terus berusaha dalam tempoh berbaki beberapa bulan ini bagi menepati kelayakan ke temasya dwitahunan tersebut.

“Insya-Allah, kalau ada rezeki, saya juga mahu ke Sukan SEA dan akan melakukan larian sehabis baik. Sekarang, bagi kuartet 4×100 juga sedang menjalani latihan untuk acara berkenaan.

“Tanpa Azeem, Insya-Allah kita boleh buat yang terbaik dan mampu berada di podium di Sukan SEA nanti,” katanya di sini semalam.

Dalam aksi 200 meter (m) Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Kangar kelmarin, Pengiran Aidil berjaya mengatasi pelari dari Singapura untuk mengungguli acara tersebut dengan masa 21.42 saat (s).

Kejayaan itu sekali gus mengubati kegagalannya terlepas podium dalam acara 100m sebelum itu apabila sekadar berpuas hati di kedudukan keempat dengan catatan masa 10.48s.

Pada Sukan SEA Kemboja 2023, kuartet 4x100m lelaki negara yang diwakili Muhammad Zulfiqar Ismail, Jonathan Nyepa, Muhammad Haiqal Hanafi dan Khairul Hafiz berpuas hati berkongsi pingat gangsa.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN