KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur (KL) City FC mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super selepas berjaya menumpaskan Terengganu FC 1-0 di laman sendiri, hari ini.
Pemain Harimau Malaya, Paulo Josue muncul wira skuad kendalian Risto Vidakovic apabila meledak gol kemenangan menerusi sepakan penalti pada minit ke-78.
Dalam aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur itu, tuan rumah lebih banyak menguasai perlawanan dan hampir berada di hadapan pada minit ke-24, namun percubaan Nicolao Cardoso terkena tiang.
Terengganu FC turut melepaskan peluang terbaik untuk menjaringkan gol apabila sepakan penalti Careca berjaya ditepis oleh penjaga gol KL City, Quincy Kaammeraad.
Bersambung babak kedua, Terengganu menukar strategi untuk menekan tuan rumah, namun Quincy memainkan peranannya di pintu gawang untuk tidak melepaskan sebarang ol.
Azam Azmi berpeluang meletakkan Terengganu di hadapan pada minit ke-52, namun percubaan Jarak dekatanya berjaya dihalang dengan cemerlang oleh Quincy.
KL City FC mendapat sepakan penalti pada minit ke-78 selepas Josue dijatuhkan dan pemain naturalsasi negara itu tidak berdepan masalah menewaskan Mohd Suhaimi Husin untuk gol kemenangan tuan rumah.
Skuad Warga Kota ketika ini berada di tangga kedua Liga Super dengan 16 mata selepas dua perlawanan, dibezakan dua mata dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) di tangga teratas.
Selepas ini, KL City akan berdepan Melaka FC di tempat lawan sementara Terengganu melayan kunjungan Kelantan The Real Warriors (TRW).-UTUSAN