Kinoshi bertahan hanya 10 bulan kendali Selangor

Kinoshi bertahan hanya 10 bulan kendali Selangor

Katsuhito Kinoshi ketika mengendalikan sesi latihn Selangor FC musim lalu.-IHSAN SELANGOR FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Jurulatih Selangor FC (SFC), Katsuhito Kinoshi menjadi pengendali pertama yang bakal kehilangan jawatan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Selangor FC dalam satu kenyataan mengesahkan jurulatih kelahiran Jepun itu direhatkan daripada tugasan selaku ketua jurulatih skuad utama Gergasi Merah berkuat kuasa serta-merta.

“Selangor FC ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Kinoshi atas segala sumbangan, usaha serta komitmen sepanjang tempoh perkhidmatannya bersama pasukan,” jelas kenyataan itu.

Tanggungjawab membimbing pasukan utama diserahkan kepada Christophe Gamel yang dilantik sebagai ketua jurulatih interim, sementara pihak pengurusan mencari calon tetap.

Langkah SFC ini membuka ruang spekulasi mengenai siapa bakal menjadi pengendali tetap baharu, dengan beberapa nama berprofil tinggi mungkin dikaitkan.

Sementara itu, pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim berpandangan kegagalan Kinoshi memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan menyebabkan dirinya direhatkan.

Jelasnya, pelbagai andaian boleh diperkatakan, namun pada akhirnya inilah risiko yang perlu dihadapi oleh jurulatih-jurulatih profesional.

“Saya fikir pihak pengurusan tertinggi Selangor akan cuba cari jurulatih lebih berkaliber. Saya lihat ini ‘trend’ yang selalu berlaku daripada dulu apabila menukar jurulatih di separuh jalan.

“Sebab apa kita sendiri tidak tahu apa yang berlaku. Mungkin apa yang diberikan Kinoshi setakat ini tidak memuaskan hati pihak pengurusan.

“Apa pun inilah risiko yang terpaksa dihadapi apabila bergelar jurulatih profesional. Bagi saya untuk seorang-seorang jurulatih itu mereka sekurang-kurangnya memerlukan satu musim untuk membina asas permainan tapi segalanya bergantung kepada pihak pengurusan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kinoshi, 61, dilantik mengendali Selangor pada November tahun lalu dan berjaya memenangi kejuaraan Piala Cabaran MFL 2024-25 tetapi gagal mencari konsistensi dalam Liga Super.

Di bawah kendaliannya, Selangor memenangi 12 daripada 23 perlawanan dalam semua pertandingan, seri tiga dan kalah tujuh dengan kadar kemenangan sekitar 54 peratus.

Bagaimanapun, musim ini, Gergasi Merah telah mengalami permulaan yang sukar, dengan dua kemenangan dan tiga kekalahan di tempat lawan dalam lima perlawanan pembukaan mereka.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN