Kegagalan yang perit, mengecewakan- Nafuzi

Kegagalan yang perit, mengecewakan- Nafuzi

PENYERANG skuad bawah 23 (B-23) negara, Fergus Tierney (kanan) dikawal ketat oleh pertahanan Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan F Kelayakan Piala Asia B-23 2026 di Stadium Thammaasat di Bangkok, Thailand, kelmarin.- IHSAN MALAYSIA NT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Nafuzi Zain meluahkan rasa kecewa apabila tewas pada minit-minit terakhir kepada Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan F kelayakan Piala Asia B-23 2026, kelmarin.

Kekalahan 2-1 kepada tuan rumah di Stadium Thammasat itu, menunjuk skuad muda negara ‘jalan keluar’ daripada perebutan tiket ke Piala Asia B-23 di Arab Saudi tahun depan apabila menamatkan saingan di kedudukan ketiga Kumpulan F.

Kegagalan itu sememangnya memberi kekecewaan kepada Nafuzi tetapi beliau tetap berpuas hati dengan semangat juang ditunjukkan anak buahnya yang memberi tentangan sengit kepada Thailand dalam perlawanan itu.

Nafuzi, 47, berkata kegagalan menyudahkan peluang dan kesilapan pada saat akhir menjadi punca pasukannya dihukum dengan jaringan lewat pasukan lawan serta gagal mencipta kemenangan.

“Saya berpuas hati dengan persembahan pemain. Kedua-dua pasukan bermain bola sepak yang baik dan bukan senang untuk bermain di atas padang selepas hujan lebat.

“Saya fikir kedua-dua pasukan tidak dapat menunjukkan persembahan sebenar dan lebih bermain dengan hantaran terus. Bukan mudah untuk berdepan pasukan Thailand yang memiliki pemain berkualiti, namun kami memberikan tentangan yang baik dan mencipta beberapa peluang untuk menang.

“Tetapi pada penghujungnya kami melakukan kesilapan yang membolehkan lawan mendapat jaringan dan sebab itu kami tewas di minit akhir. Untuk keputusan saya kecewa, tapi komitmen yang pemain tunjukkan saya amat bangga,” katanya.

Keputusan itu menyaksikan skuad Nafuzi menutup kempen kelayakan dengan mengutip tiga mata hasil kemenangan 7-0 ke atas Mongolia selain tewas 0-1 pada aksi pertama kepada Lubnan.

Skuad B-23 negara sebelum ini, berjaya layak dalam tiga edisi terakhir Piala Asia B-23 iaitu pada 2018, 2022 dan 2024 dengan pencapaian terbaik adalah mara ke suku akhir edisi 2018.

Dalam masa sama, Nafuzi menyedari kekecewaan peminat bola sepak negara di atas kegagalan pasukan negara beraksi di Piala Asia B-23 buat kali ketiga berturut-turut, namun perasaan lebih perit turut dirasai seluruh pasukan.

Tegas Nafuzi, anak buahnya perlu belajar bagaimana untuk mengelak daripada melakukan kesilapan sama pada kejohanan akan datang.

“Kami semua amat kecewa pasukan tidak layak ke Piala Asia tapi saya fikir pemain sudah memberikan segala-galanya. Kami perlu bekerja keras untuk masa akan datang dan belajar bagaimana untuk mengelak daripada melakukan kesilapan yang berlaku di sini,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN