PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menegaskan keputusannya untuk terus berlumba pada usia 37 tahun bukan sekadar untuk dirinya tetapi demi memastikan pelapis negara tidak selesa berada di zon selamat.
Bekas juara dunia keirin itu menolak untuk bersara selepas Sukan Olimpik Paris 2024 kerana mahu menjadi ‘cermin prestasi’ buat pelumba muda yang sedang mengintai tempatnya.
“Kita ada pelumba bagus seperti (Muhammad) Shah Firdaus (Sahrom), (Muhammad) Ridwan (Sahrom) dan (Muhammad) Fadhil Zonis yang semakin rapat, tetapi masih ada jurang.
“Itu sebab saya terus berlumba, bukan sekadar untuk saya tetapi untuk mendesak mereka supaya bekerja lebih keras,” kata Azizulhasni kepada Utusan Malaysia.
Azizulhasni yang kini berstatus pelumba profesional tetap pulang dua minggu sekali setiap bulan dari Melbourne untuk menyertai skuad kebangsaan berlatih di Velodrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan.
Beliau percaya kehadirannya di trek menjadi kayu ukur sebenar buat pelumba muda kerana tanpa pesaing, seseorang atlet akan mudah berasa selesa.
Shah Firdaus yang dianggap pengganti utama sudah membuktikan kemampuan dengan emas keirin di Piala Negara UCI di Konya, Turkiye sebelum diganggu kecederaan lutut.
Azizulhasni berkata kehadirannya masih penting kerana ia memberi isyarat jelas buat pelumba muda agar tidak berasa selesa.
“Kalau saya dalam keadaan sekarang masih mampu mengatasi mereka dalam latihan, itu isyarat jelas mereka perlu gandakan usaha,” tegasnya.-UTUSAN











