Izzatul Musfirah permata baharu olahraga negara

Izzatul Musfirah permata baharu olahraga Malaysia

IZZATUL Musfirah berjaya memecahkan rekod 200m pada Kejohanan Olahraga MSSM di Perlis, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGIMBANGI antara akademik dan sukan bukan tugas mudah, namun bagi Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira segala tidak mustahil jika mempunyai semangat yang kental untuk berjaya.

Ratu pecut kecil molek dari Terengganu itu telah berjaya membuktikan kerana bukan sahaja cemerlang dalam bidang pendidikan, malah turut berjaya sebagai atlet olahraga.

Izzatul Musfirah boleh digelar sebagai permata baharu olahraga negara selepas dinobatkan Olahragawati Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Kali Ke-65 di Perlis baru-baru ini.

Lebih mengujakan, remaja berusia 17 tahun itu juga mencipta sejarah baharu MSSM, apabila berjaya memecahkan empat rekod kejohanan iaitu bagi acara 100, 200, 4×100 dan 4×400 meter (m) perempuan bawah 18 tahun (B-18).

Pada 2023, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Haji Abdul Rahman Limbong
yang berjaya meraih lima emas selain dua kali mencipta dua rekod baharu kejohanan secara peribadi iaitu 200m lari berpagar dan 200m perempuan B-15 tahun itu juga dinobatkan Olahragawati MSSM.

Bagaimanapun pada kejohanan Olahraga MSSM 2024, anak ketiga daripada empat beradik itu tidak dapat menyertainya kerana dibelenggu masalah kecederaan dan pada MSSM tahun ini, dia kembali bangkit mencipta sensasi dengan pencapaian luar biasa tersebut.

Dalam akademik, Izzatul Musfirah juga cemerlang apabila berjaya mendapat keputusan semua 9A dalam peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), baru-baru ini.

Pencapaian akademik yang cemerlang itu dijangka diteruskan oleh Izzatul Musfirah dalam peperiksaan SPM tahun ini.

IZZATUL Musfirah dinobatkan sebagai Olahragawati MSSM 2025.

Dalam kejohanan olahraga MSSM 2025, dia dinobatkan sebagai ratu pecut selepas memenangi acara 100m dengan catatan masa 11.84 saat (s), sekali gus memecahkan rekod kejohanan 12.02s yang dicatatkan Azreen Nabila Razali sebelum ini.

Remaja tersebut terus cemerlang apabila memecah rekod kejohanan acara 200m dengan catatan masa 24.24s yang sebelum ini disandang oleh Ormilla Octavia Codday Nyadau dari Sarawak yang dilakar tahun lalu dengan masa 24.79s.

Izzatul Musfirah bersama kuartet 4x100m Terengganu itu turut mengungguli acara berkenaan dengan catatan masa 47.45s dan memecahkan rekod kejohanan yang dicatatkan pada MSSM Johor 2024 iaitu 47.65s.

Dia melengkapkan kemenangan pingat emas keempatnya itu dengan rekod baharu dalam acara 4x400m dengan cacatan masa tiga minit 55.47s sekali gus memadam rekod 2014
iaitu tiga minit 57.07s.

IZZATUL Musfirah meraih empat pingat emas di Kejohanan Olahraraga MSSM 2025.

Pada penyertaan di Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 di usia 16 tahun, Izzatul Musfirah berjaya memenangi pingat perak bagi acara 100m dengan masa 11.90s, sekali gus bakal menjadi prospek bagi acara pecut untuk negara.

Izzatul Musfirah berkata, bagi mengimbangi sukan dan akademik, bukanlah perkara mudah namun dia menerapkan disiplin yang tinggi untuk berjaya dalam dua bidang tersebut.

Katanya, dia menetapkan rutin iaitu pada sebelah pagi belajar di sekolah seperti biasa dan petang pula menyertai latihan olahraga.

“Pada sebelah malam, saya meluang masa mengulang kaji pelajaran. Bagaimanapun, saya tetap mengamalkan rutin untuk tidur awal. Keluarga juga sentiasa memberi sokongan kepada saya menceburi bidang olahraga ini dan dalam masa sama tidak mengabaikan pelajaran.

“Penat sememangnya ada, tetapi kita perlu sedikit berkorban bagi mencapai kejayaan dalam sukan dan pendidikan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sementara itu, dia menzahirkan rasa syukur dapat merangkul kembali gelaran Olahragawati selepas tidak dapat menyertai kejohanan MSSM tahun lalu atas faktor kecederaan.

Katanya, kejayaan tersebut merupakan anugerah terbaik buat dirinya kerana kejohanan MSSM kali ini adalah yang terakhir disertainya.

IZZATUL Musfirah

“Saya juga berharap anugerah yang diraih itu dapat memberi suntikan buat anak-anak muda untuk bangkit dalam bidang sukan selepas ini. Dalam kejohanan MSSM tahun ini, saya sememangnya berazam dan mempunyai misi untuk memecahkan rekod serta meraih pingat emas buat kontinjen Terengganu.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi sebaliknya memberi fokus bersaing dalam setiap acara yang disertai dan Alhamdulilah berjaya mencapai kejayaan dengan memecahkan semua empat rekod dalam setiap acara yang disertai pada edisi kali ini.

“Buat masa ini, saya juga perlu membahagikan masa dengan sebaiknya memandangkan pada tahun ini saya akan menghadapi SPM,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN