Holgado bangga wakili Harimau Malaya

Holgado bangga wakili Harimau Malaya

RODRIGO Holgado ketika beraksi menentang Palestin pada Isnin lalu di Stadium Sultan Ibrahim.-IHSAN MALAYSIA NT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyerang warisan skuad Harimau Malaya, Rodrigo Holgado mengakui dirinya sangat gembira dapat menyarung jersi Malaysia sejak menyertai skuad kebangsaan pada Jun lalu.

Pemain berdarah Argentina-Malaysia itu turut menegaskan bahawa dirinya sudah tidak sabar untuk kembali beraksi pada Kelayakan Piala Asia 2027 bulan depan apabila skuad kendalian Peter Cklamovski itu dijadual menentang Laos.

Katanya, kemenangan 1-0 ke atas Palestin dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim pada Isnin lalu cukup bermakna.

Lebih manis, perjalanan selama 30 jam dari Colombia ke Kuala Lumpur kali ini tidak keseorangan kerana ditemani isterinya.

Kata pemain kelab America de Cali itu, dia akan terus berjuang bersama skuad Harimau Malaya dan berazam untuk membantu Malaysia meraih lebih banyak kejayaan selepas ini.

“Saya sangat gembira dapat mewakili negara yang indah ini, yang membuatkan saya berasa seperti di rumah sejak saya tiba.

“Terima kasih kepada rakan sepasukan, barisan kejurulatihan, skuad kebangsaan serta kasih sayang dan sokongan rakyat Malaysia. Mari kita terus berjuang bersama untuk lebih banyak kejayaan. Jumpa lagi,” katanya di laman sosial miliknya.

Holgado meraih kap pertamanya bersama skuad negara ketika aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jun lalu.

Dalam aksi itu, dia turut membuka akaun golnya di pentas antarabangsa dengan menjaringkan gol kedua bagi membantu pasukan menang 4-0 ke atas Vietnam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN