Harimau Malaya tidak 'berlembut' bertemu Palestin

Harimau Malaya tidak ‘berlembut’ bertemu Palestin

KETUA Jurulatih Harimau Malaya Peter Cklamovski bersama Nooa Laine pada sidang media menjelang perlawanan persahabatan menentang Palestin di Hotel Double Tree By Hilton, Johor Bahru disini, semalam.-GAMBAR/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Harimau Malaya tidak akan ‘berlembut’ dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Palestin yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, esok walaupun negara itu kini dalam konflik.

Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski berkata, pertemuan menentang Palestin itu melibatkan perlawanan bola sepak yang mana setiap pemain membawa nama dan maruah negara masing-masing.

“Kami menjangka satu lagi perlawanan sukar menentang lawan dengan gaya permainan yang berbeza berbanding Singapura, apa yang penting adalah kita ambil pengajaran daripada kemenangan 2-1 menentang Singapura.

“Banyak perkara positif yang boleh kita ambil daripada kemenangan itu, banyak juga perkara yang boleh kita perbaiki termasuk peluang mendapatkan jaringan apabila berada di hadapan pintu gol.

“Ini perlawanan bola sepak, ia tentang dua pasukan yang akan bermain sehabis baik bagi memberikan kebanggaan kepada negara masing-masing. Ia satu penghormatan dan keterujaan buat kedua-dua pasukan,” katanya.

Tambah Cklamovski, pihaknya yakin mampu ‘menundukkan’ Palestin namun anak buahnya perlu menjalani beberapa proses sebelum mampu mencatat kemenangan keatas pasukan yang berada di kedudukan ke-98 dunia itu.

“Antara proses itu adalah menilai prestasi perlawanan lalu, berehat, lakukan analisis dan tambah baik kelemahan yang ada. Kami percaya proses ini perlu dilalui kerana kemenangan tidak akan hadir tanpa usaha dan kerja keras,” ujarnya.

Sementara itu, pemain pertahanan skuad kebangsaan, Nooa Laine mengakui pihaknya tidak berapa ‘mahir’ dengan taktik dan gaya permainan Palestin.

“Sejujurnya, saya belum ‘menganalisis’ permainan Palestin, tetapi dalam masa yang singkat ini kami akan lakukan yang terbaik. Kami perlu berikan tumpuan penuh kepada proses pemulihan dan meningkatkan kerjasama antara pemain dalam pasukan,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN