PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski mengakui Harimau Malaya mula menampakkan perubahan positif berdasarkan tiga perlawanan awal yang diharungi sebelum ini.
Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Australia itu tidak mahu anak buahnya terlalu selesa dan perlu bekerja keras dalam setiap sesi latihan serta perlawanan bagi menjamin perkembangan berterusan.
Menurut Cklamovski, konsistensi adalah kunci utama untuk Harimau Malaya terus meningkat, bukan sahaja dari segi keputusan, malah dalam aspek kualiti permainan.
“Kita bermula dengan mantap menerusi tiga persembahan yang baik. Jika kita melihat perlawanan menentang Nepal, kita sudah menunjukkan identiti di situ dan persembahan berpasukan yang positif,” katanya.
Malaysia kemudian mengikat pasukan pilihan, Cape Verde, dengan keputusan seri 1-1 sebelum menutup aksi persahabatan dengan kemenangan meyakinkan menentang Vietnam.
“Tiga perlawanan ini akan menjadi asas untuk kita membina pasukan. Jadi saya lihat ada langkah positif dalam perkembangan pasukan kebangsaan tetapi masih banyak lagi kerja yang perlu kita lakukan,” kata jurulatih berusia 46 tahun itu.
Menurutnya, kesungguhan pemain sepanjang latihan dan aksi persahabatan menjadi bukti bahawa skuad negara mahu terus merendah diri serta bekerja keras demi kejayaan.
“Kami mahu menjadi lebih baik dalam pelbagai aspek permainan. Kami mahu menjaringkan lebih banyak gol, mencatat lebih banyak perlawanan tanpa bolos dan mengatasi setiap lawan secara fizikal dengan intensiti kami selama 95 minit,” katanya.
Cklamovski menegaskan setiap perlawanan perlu dijadikan ruang dan peluang untuk memperbaiki kelemahan, selain memastikan skuad negara tampil lebih matang dalam corak permainan moden.
“Ada ruang untuk kami terus berkembang dan kami akan gunakan setiap perlawanan yang diharungi untuk mencapai perkara itu. Kami cuba memberikan permainan bola sepak yang terbaik sebagai inspirasi kepada semua orang,” katanya.
Beliau juga percaya disiplin dan sikap profesional yang ditunjukkan pemain mampu menjadikan Harimau Malaya pasukan yang lebih dihormati di pentas antarabangsa.-UTUSAN










