PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berharap agar semua pihak dapat mendoakan jurulatih veteren badminton negara, Wong Tat Meng kembali sihat selepas terlibat dalam satu kemalangan motosikal di Sydney, Australia pada Ahad lalu.
Hannah berkata, beliau tidak mendapat maklumat secara terperinci mengenai kecederaan yang dialami Tat Weng, namun difahamkan bekas jurulatih pemain profesional perseorangan negara, Lee Zii Jia itu cedera parah berdasarkan laporan media tempatan.
“Saya tak ada apa-apa perkembangan, yang saya tahu berita tulis kemalangan itu agak serius dan saya tahu beliau sudah berhenti jadi jurulatih untuk minat beliau tetapi kita sedih dengar berita kemalangan ini. Kita doakan yang terbaik untuk beliau,” katanya selepas menghadiri Program Rakan Muda Turun Kampus di sini hari ini.
Terdahulu, media Australia melaporkan kemalangan yang melibatkan dua motosikal itu berlaku di Jalan Putty dekat kawasan lembah Garland. Seorang penunggang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lelaki berusia 58 tahun diberi rawatan oleh pasukan perubatan.
Media tempatan melaporkan lelaki tersebut adalah Tat Meng selepas perkara itu disahkan oleh bekas pemain badminton negara, Datuk James Selvaraj yang turut berkata, dia kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).-UTUSAN