KUANTAN: Skuad futsal Malaysia layak ke Piala Asia Futsal 2026 biarpun tewas 0-4 kepada Iran dalam aksi terakhir kelayakan Kumpulan G di Stadium Tertutup SUKPA, malam ini.
Skuad kendalian Rakphol Sainetngam melakar sejarah baharu layak ke Piala Asia Futsal selepas berada di kedudukan keenam dalam senarai tujuh pasukan tangga kedua terbaik
Pencapaian itu menamatkan penantian Malaysia untuk membuat penampilan di pentas Piala Asia dimana kali terakhir skuad negara beraksi dalam edisi 2018 di Chinese Taipei.
Terdahulu dalam aksi terakhir kelayakan, Malaysia memberi tentangan kepada gergasi Asia itu dan hampir beberapa kali menggegarkan jaring Iran, namun dihalang kawalan kemas lawan.
Hadir dengan status pasukan lima terbaik dunia, Iran lebih banyak menguasai perlawanan tetapi anak buah Rakphol sempat menguji penjaga gol Iran, Saeid Momeni melalui dua percubaan jarak jauh di awal permainan.
Bagaimanapun, Iran hanya memerlukan tiga minit untuk mendahului skuad negara melalui Mehdi Mehdikhani apabila rembatannya gagal di tangkap kemas penjaga gol negara, Syaifuddin Syukri.
Awaludin Nawi memberi sedikit harapan kepada penyokong negara untuk menyamakan kedudukan seminit kemudian tetapi bola hanya terkena palang walaupun penjaga gol Iran sudah tertewas.
Sembilan minit sebelum babak pertama berakhir, Iran berjaya menambah koleksi gol selepas Mohamad Hossein Derakhshani menewaskan penjaga gol negara untuk Iran mendahului anak buah Rakphol, 2-0.
Bersambung babak kedua, iran terus menguasai gelanggang tetapi skuad negara kekal berdisiplin tinggi menutup ruang pelawat menambah jaringan sambil melakukan serangan pantas ke arah gol Iran.
Gawang Malaysia akhirnya bocor buat kali ketiga menerusi ketua pasukan Iran, Hossein Tayebibidgoli sebelum Ali Kahlilvand Somehsofla melengkapkan kemenangan 4-0 juara Asia 13 kali itu.- UTUSAN










