Fokus layak ke Piala Asia 2027

Fokus layak ke Piala Asia 2027

SKUAD Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski berjaya melonjakkan ranking pasukan kebangsaan di kedudukan 123 dunia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harimau Malaya perlu memberikan fokus sepenuhnya untuk layak secara merit ke Piala Asia 2027 berbanding mengejar mata ranking.

Bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata, mata ranking itu secara automatik menjadi milik Malaysia jika pasukan meraih kemenangan.

“Saya rasa sasaran utama dia (Cklamovski) bukan setakat nak berada di ranking terbaik, tetapi yang penting macam mana kita nak layak ke Piala Asia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Akmal Rizal, sasaran menembusi kelompok 100 terbaik dunia mampu dicapai, namun ia mengambil masa dan bergantung kepada konsistensi skuad kendalian Cklamovski.

“Untuk pergi ke lebih pada bawah 100, mereka (Harimau Malaya) akan ambil masa lagi sebab pasukan-pasukan yang di atas Malaysia ketika ini mata mereka agak tinggi.

“Tapi kalau kita dapat kekalkan momentum dengan kemenangan demi kemenangan macam sekarang ni, saya rasa tidak mustahil,” tambah Akmal Rizal.

Selain itu, Akmal Rizal mengakui faktor kemasukan ramai pemain warisan menjadi kelebihan besar buat Harimau Malaya untuk mengekalkan momentum kemenangan.

Namun beliau mengingatkan bahawa bola sepak tempatan tetap perlu membina bakat muda agar skuad kebangsaan tidak terlalu bergantung kepada pemain warisan pada masa depan.

Aksi kelayakan seterusnya menyaksikan Malaysia akan berdepan Laos pada 9 dan 14 Oktober depan, sebelum bertemu Nepal pada November dan Vietnam pada mac tahun depan.

Malaysia ketika ini menerajui Kumpulan F dengan enam mata hasil dua kemenangan iaitu menumpaskan Nepal 2-0 dalam aksi pertama sebelum membenam Vietnam 4-0 pada 10 jun lalu.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN