JOHOR BAHRU: Pemain sayap lincah Harimau Kebangsaan, Faisal Halim akan direhatkan daripada perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Palestin, Isnin ini susulan kemelut rumah tangga yang sedang dihadapinya.
Pengendali skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski berkata, keputusan itu dibuat setelah pihaknya mengambil kira keputusan terbaik buat pemain Selangor FC tersebut.
Menurut beliau, keputusan tersebut juga dibuat susulan kecederaan ringan di bahagian lutut yang dihadapi pemain tersebut.
“Kami telah memutuskan bahawa Mickey (Faisal) tidak akan bersama dalam sesi latihan menentang Palestin ini. Pada masa ini beliau mempunyai situasi peribadi dalam kehidupannya, dan kami hormati.
“Selain itu, terdapat kecederaan kecil di bahagian lututnya, tetapi sebenarnya ia tidak menjejaskan prestasi dia dalam bola sepak. Namun mengambil kira keadaan itu, keputusan tepat adalah untuk merehatkannya,” katanya dalam sidang akhbar menjelang perlawanan persahabatan menentang Palestin di Hotel DoubleTree By Hilton, di sini hari ini.-UTUSAN