Bung Moktar dakwa Hajiji perdaya UMNO Sabah - Utusan Malaysia

Bung Moktar dakwa Hajiji perdaya UMNO Sabah

BUNG MOKTAR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO Sabah menolak cadangan kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dengan menegaskan tidak akan tunduk kepada sebarang tipu daya serta politik gila kuasa.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mendakwa, GRS telah bertindak menipu apabila Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor memperdayakan beliau pada hari barisan kabinet negeri mengangkat sumpah.

Katanya, Hajiji telah berbohong mengenai pelantikan jawatan menteri negeri dengan menukarnya kepada jawatan lain tanpa pengetahuan beliau.

“Kami tidak akan menjadi pak turut kepada politik lompat, tidak akan bersekongkol dengan penipuan dan tidak akan tunduk kepada kerakusan kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, Barisan Nasional (BN) melahirkan rasa tidak puas hati terhadap cadangan GRS yang hanya menawarkan lapan kerusi kepada parti itu untuk PRN Sabah akan datang.

Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, tawaran tersebut amat mengecewakan kerana BN mempunyai 14 kerusi incumbency hasil kemenangan pada PRN lalu.

Kelmarin, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut mengesahkan parti itu tidak akan bekerjasama dengan GRS manakala kerjasama BN–Pakatan Harapan (PH) kekal diteruskan.

Bung Moktar berkata, keputusan BN untuk tidak bekerjasama dengan GRS adalah manifestasi penghormatan kepimpinan pusat terhadap autonomi UMNO Sabah.

Tegasnya, apa yang digelar sebagai ‘Langkah Kinabalu’ iaitu percubaan menyingkirkan Hajiji sebagai Ketua Menteri pada 2023 bukanlah satu pengkhianatan, sebaliknya reaksi terhadap kegagalan kepemimpinan Hajiji.

“Saya tegaskan di sini, saya sedia berdebat dengan sesiapa sahaja mengenai Langkah Kinabalu.

“Kita boleh berdebat di mana sahaja, bukan hanya menjerit di TikTok seperti ayam berkokok di waktu Subuh tetapi takut turun ke gelanggang. Politik bukan pentas jual bahasa basi di media sosial, ia medan hujah dan kebenaran,” katanya.

Langkah Kinabalu bermula pada Januari 2023 selepas BN Sabah menarik balik sokongan terhadap Hajiji dengan alasan berlaku pelanggaran amanah.

Bung Moktar turut menyatakan keyakinannya bahawa BN mampu merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik selepas lawatannya ke kawasan itu, semalam.

“Rakyat Sebatik tahu menilai siapa yang konsisten memperjuangkan nasib mereka dan siapa pula yang hanya muncul ketika mahu mengaut kuasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN