England makin serasi dengan Tuchel

England makin serasi dengan Tuchel

HARRY Kane meledak gol pertama ketika England membelasah Serbia 5-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026, semalam.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELGRADE: England semakin serasi dengan taktikal Thomas Tuchel apabila Three Lions memperagakan aksi cemerlang ketika membelasah Serbia 5-0 dalam aksi Kumpulan K Kelayakan Piala Dunia 2026, semalam.

Kemenangan itu memberi kelegaan kepada pengendali dari Jerman itu selepas dikritik kerana persembahan longlai ketika menang 2-0 ke atas Andorra di laman sendiri pada Sabtu lalu.

“Saya lebih daripada gembira untuk pasukan dan kakitangan. Kami melalui minggu yang cemerlang dari awal hingga akhir dan hari ini (semalam) kami buktikan apa yang saya lihat setiap hari dalam kem latihan.

“Kami bermain dengan intensiti tinggi dan ia adalah kerja berpasukan dalam bentuk paling tulen,” kata Tuchel.

Pada aksi di Stadium Rajko Mitic, Harry Kane membuka jaringan untuk melebarkan rekodnya dengan gol ke-74 England, Noni Madueke, Ezri Konsa dan Marc Guehi masing-masing menjaringkan gol pertama mereka bersama pasukan senior di pentas antarabangsa.

Marcus Rashford melengkapkan pesta jaringan menerusi penalti lewat permainan, membolehkan England mengutip 15 mata daripada lima perlawanan dan berpeluang mengesahkan kelayakan automatik sebagai juara kumpulan bulan depan.

England tidak pernah tewas di Belgrade sejak 1958 dan mendahului pada minit ke-33 apabila Kane menanduk masuk sepakan penjuru Declan Rice.

Tidak lama selepas itu, Madueke menambah gol kedua hasil lorongan bijak Morgan Rogers sebelum Konsa menjadikan kedudukan 3-0 tujuh minit selepas rehat.

Serbia bertambah malang apabila Nikola Milenkovic dibuang padang pada minit ke-73 kerana mengasari Kane, dan daripada sepakan percuma Rice, Guehi menyudahkan peluang untuk gol keempat.

Rashford kemudian menyempurnakan penalti selepas Ollie Watkins dijatuhkan, ketika penyokong England bersorak dalam stadium yang semakin kosong ditinggalkan penyokong tuan rumah.

England kini mendahului kumpulan dengan tujuh mata di depan Albania, manakala kekalahan pertama Serbia itu meletakkan mereka di tangga ketiga dengan tujuh mata tetapi bermain kurang satu perlawanan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN