PETALING JAYA: Brunei DPMM FC terus menjadi lubuk mata pasukan Liga Super, kali ini pasukan jemputan itu tumpas 1-2 kepada Kelantan The Real Warriors (TRW) di laman sendiri.
Dalam aksi di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah itu, anak buah E.Elavarasan berada dihadapan pada minit ke-36 menerusi menerusi peledak berbisa, Ifedayo Omosuyi.
Pada minit ke-42, Azam Azih turut menambah derita tuan rumah menerusi rembatan deras ke arah gawang Haimie Abdullah bagi memastikan Kelantan TRW mendahului dengan dua gol.
Perlawanan separuh masa pertama berakhir dengan keputusan 2-0 memihak kepada pasukan pelawat, Kelantan TRW.
Bersambung babak kedua, Jordan de Paula Rodrigues menyalakan harapan untuk DPMM FC cuba bangkit selepas berjaya mengurangkan defisit pada minit ke-52.
Kedudukan 1-2 kekal sehingga tamat perlawanan dan TRW gembira meraih kemenangan kedua dalam Liga Super musim ini.
Selepas ini, DPMM FC akan berdepan Melaka FC sementara Kelantan TRW akan menentang Terengganu FC.-UTUSAN