Cklamovski tuntut aksi terbaik Harimau Malaya

Cklamovski tuntut aksi terbaik Harimau Malaya

Ketua Jurulatih Pasukan Harimau Malaya, Peter Cklamovski.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski mengingatkan barisan pemain Harimau Malaya agar mengekalkan tahap kecergasan dan memberikan tumpuan sepenuhnya menjelang aksi persahabatan antarabangsa menentang Singapura dan Palestin.

Beliau menegaskan, apa yang diharapkan bukan hanya keputusan di atas kertas, sebaliknya satu persembahan yang mampu membanggakan penyokong tanah air yang sentiasa setia berdiri di belakang pasukan.

Katanya, barisan anak buahnya perlu mempamerkan aksi terbaik dan tidak memandang rendah terhadap lawan selain berhati-hati dengan taktikal licik lawan dalam usaha mencipta kemenangan dalam perlawanan itu.

“Ia adalah cabaran yang baik untuk kami sebagai pasukan kebangsaan untuk menentang dua lawan seperti itu.

“Sekali lagi, fokus pada prestasi pasukan kami. Lakukan segala yang kami boleh untuk mendapatkan kemenangan dan membanggakan semua orang,” katanya.

Pasukan negara akan mengharungi dua perlawanan persahabatan Tier 1 dengan bertemu Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis ini sebelum menentang Palestin pada 8 September di Stadium Sultan Ibrahim.

Cklamovski turut optimis dua aksi persahabatan ini akan menjadi medan terbaik buat pemain menguji kemampuan sebenar menentang lawan yang berkualiti pada masa akan datang.

“Terus membina apa yang sudah kami lakukan dalam perlawanan terakhir kami. Dan satu persembahan yang penuh semangat di mana semua orang berasa bangga dan teruja,” ujarnya.

Beliau turut mahu melihat barisan pemain tampil lebih tajam di depan gawang dengan harapan dapat menghasilkan jaringan dalam jumlah yang besar.

“Harapan kami dapat menjaringkan sebanyak mungkin gol yang kami boleh menentang lawan yang bagus,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN