PETALING JAYA: Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski menegaskan setiap pemain yang beraksi dalam Liga Malaysia (Liga M) terutamanya Liga Super berada dalam pemerhatian barisan kejurulatihan skuad kebangsaan.
Ramadhan Saifullah dan Daniel Amir yang bersama Kuching City dan beberapa pemain lain antara nama yang menjadi sebutan peminat bola sepak tanah air yang mahu menyaksikan mereka menyarung jersi Harimau Malaya.
Malah, Safawi Rasid juga dilihat mula mendapat rentak permainannya semula apabila cukup menyerlah apabila beraksi bersama Kuala Lumpur (KL) City ketika ini.
Menurut Cklamovski, proses pemilihan pemain sentiasa terbuka dan semua yang beraksi dalam saingan domestik akan diberi peluang sama rata untuk membuktikan kemampuan masing-masing.
Tegasnya, pemantauan bukan sahaja tertumpu kepada pemain ternama, sebaliknya meliputi keseluruhan pemain yang bersaing di Liga Super.
“Safawi, contohnya, merupakan pemain yang sudah biasa bersama pasukan ini sejak saya mengambil alih. Dia juga beraksi menentang Palestin baru-baru ini, jadi sudah tentu dia sentiasa dalam pemantauan kami.
“Kami menonton setiap perlawanan liga dan sebahagian daripada proses kami adalah menyenaraikan calon berpotensi untuk dipanggil. Senarai itu kemudian akan dikecilkan sebelum diumumkan secara rasmi,” jelas jurulatih kelahiran Australia itu kepada Utusan Malaysia.
Kenyataan ini sekali gus memberi isyarat jelas bahawa pintu skuad kebangsaan sentiasa terbuka buat pemain yang mampu menampilkan prestasi konsisten bersama kelab masing-masing.
Bagi peminat bola sepak tanah air, ia juga menjadi motivasi bahawa aksi cemerlang di pentas Liga Super bukan sahaja sekadar membantu kelab, malah boleh membuka peluang untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
Dengan beberapa muka baharu menonjol musim ini, ramai yang pasti ternanti-nanti senarai panggilan rasmi skuad kebangsaan akan datang menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 berdepan Laos dua kali pada Oktober ini.
Selepas menentang Laos, anak didik Cklamovski akan menghadapi Nepal pada November ini sebelum berdepan Vietnam Mac tahun depan bagi aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2027.
Skuad negara kini berada di tangga teratas dalam Kumpulan F dan kemenangan ke atas Laos memberi peluang untuk mengukuhkan kedudukan dan menjarakkan mata dengan pesaing utama, Vietnam.-UTUSAN