Bergson kembali menyengat bersama JDT

Bergson kembali menyengat bersama JDT

PENYERANG JDT Bergson Da Silva meledak tiga gol pada pertemuan menentang Sabah FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, kelmarin. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bergson Da Silva kembali ‘mengganas’ apabila meledak hatrik ketika membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) menundukkan Bangkok United 4-0 dalam aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC), kelmarin.

Ini adalah hatriknya kedua berturut-turut pemain kelahiran Brazil itu selepas turut meledak tiga gol ketika Harimau Selatan membelasah Sabah FC 8-0 dalam aksi Liga Super, minggu lalu.

Bagi Bergson, ia adalah satu kepuasan buat dirinya apabila memainkan peranan penting buat skuad Harimau Selatan selain memberikannya keyakinan untuk beraksi dengan lebih baik

Pemain berusia berusia 34 tahun itu bertekad untuk bekerja lebih keras merebut tempat dalam pasukan dan menjadikan JDT sebuah pasukan yang lebih baik selepas tidak menjadi pilihan Xisco Munoz dalam kesebelasan utama.

“Sejujurnya, saya tidak memikirkan soal berita yang ditulis mengenai saya ketika menjaringkan gol atau tidak menjaringkan gol. Perkara pertama terlintas di fikiran adalah untuk membantu rakan sepasukan di atas padang.

“Sebagai pemain, saya perlu mencabar kemampuan diri saya dan menjadi pilihan ketua jurulatih. Sama ada saya menjaringkan tiga gol atau tidak, fokus saya adalah untuk membantu pasukan,” katanya.

Bergson yang sudah bersama JDT sejak 2021 melakar sejarah sebagai penjaring terbanyak Liga Super sepanjang zaman dengan rekod 109 jaringan, mengatasi pencapaian Indra Putra Mahayuddin dengan 106 gol.

“Saya tidak terlalu memikirkan soal rekod itu sejak awal musim ini, saya cuma fokus terhadap karier bersama kelab yang sentiasa berusaha menjadi lebih baik. Saya sangat gembira berada di sini dan mahu terus memberi yang terbaik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN