Bakat Hakim Danish terkubur tanpa penaja?

Bakat Hakim Danish terkubur tanpa penaja?

HAKIM Danish mempamerkan prestasi konsisten dan menghuni kedudukan ketiga keseluruhan dalam Piala Red Bull MotoGP Rookies, musim ini. - Gambar ihsan ZK Racing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Nasib pelumba berbakat besar Malaysia, Hakim Danish Ramli pada ketika ini ‘bagaikan melukut di tepi gantang’.

Pelumba muda negara berbakat besar itu berdepan kesukaran untuk meraih kepercayaan penaja bagi merealisasikan impiannya berlumba dalam Kejuaraan Motosikal Dunia bagi kelas Moto3.

Keputusan cemerlang menamatkan musim 2025 pada Piala RedBull MotoGP Rookies di kedudukan ketiga keseluruhan, nampaknya tidak memadai untuk anak muda itu menarik sokongan penaja dengan mudah.

Sokongan tidak berbelah bagi oleh Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan juga Kerajaan Negeri Terengganu masih belum mampu menjamin masa depan anak muda itu.

Sikap tidak ambil peduli syarikat-syarikat korporat tentang bakat besar yang dimiliki Hakim Danish begitu menyedihkan kerana sehingga kini tiada jawapan konkrit yang dapat diberikan oleh SIC Racing tentang masa depan anak muda itu.

Sesungguhnya Hakim Danish amat memerlukan sokongan kewangan yang kukuh kerana sukan bermotor tidak murah, tetapi, kehadiran pelumba itu dengan membawa nama syarikat Malaysia dalam Kejuaraan Dunia merupakan satu promosi terbaik mampu ditawarkannya sebagai situasi menang-menang.

Cuma satu sahaja peringatan buat syarikat-syarikat gergasi di negara ini, jangan sampai bidalan ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah kelaparan’ menjadi realiti apabila bakat pelumba muda seperti Hakim Danish tidak diendahkan dan berkubur begitu sahaja.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN