LONDON: Mikel Arteta mengakui kecewa di atas kegagalan Arsenal mengutip tiga mata ketika menentang Manchester City pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Emirates, semalam.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, The Gunners menguasai perlawanan itu sepenuhnya apabila mencatat 67.2 peratus penguasaan bola, rekod paling rendah pernah dialami pasukan Pep Guardiola dalam saingan liga.
Arsenal bagaimanapun, dibolosi seawal minit kesembilan menerusi ledakan Erling Haaland sebelum Gabriel Martinelli menyelamatkan keadaan dengan jaringan penyamaan pada masa kecederaan.
Keputusan itu menyaksikan rekod baik Arteta menentang bekas bosnya diteruskan, tetapi Arsenal kini ketinggalan lima mata di belakang pendahulu Liverpool manakala City menghuni tangga kesembilan, tiga mata di belakang Arsenal.
Arteta turut ditanya mengenai keputusannya menurunkan Declan Rice, Martin Zubimendi dan Mikel Merino sebagai trio tengah menentang City.
Dia menegaskan ia kombinasi sama yang membawa kemenangan ke atas Athletic Bilbao dalam aksi Liga Juara-Juara pertengahan minggu lalu.
Arteta turut menjawab pendapat beberapa pengulas sukan menyatakan Arsenal terlalu berhati-hati pada separuh masa pertama.
“Tiada siapa bertanya saya mengenai tiga pemain tengah itu ketika menentang Bilbao. Ia sama sahaja kerana saya percaya ia yang terbaik untuk pasukan.
“Terlalu mudah untuk mengatakan taktik kami salah. Kami bermula dengan baik, kami jelas tahu apa yang mahu dilakukan dan kami mendominasi.
“Mereka menjaringkan gol selepas tidak melakukan apa-apa sebelum itu. Selepas itu kami kembali menguasai permainan,” jelas Arteta.
Arteta turut mempertahankan keputusannya hanya memasukkan Bukayo Saka selepas rehat bagi memburu gol penyamaan.
Katanya, perubahan taktikal pada babak kedua hanyalah kesinambungan daripada penguasaan separuh masa pertama.-AGENSI
KAPSYEN: MARTINELLI menyelamatkan maruah Arsenal apabila jaringannya berjaya mengikat City 1-1.-AFP










