Aaron-Wooi Yik main bawah standard dunia

Aaron-Wooi Yik main bawah standard dunia

AARON Chia dan Soh Wooi Yik terpaksa akur tewas kepada pasangan dari India, Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty dengan keputusan straight set dalam perlawanan suku akhir beregu lelaki Kejohanan Badminton Dunia BWF di Arena Adidas, Paris.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi membidas prestasi hambar yang dipamerkan gandingan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di Kejohanan Badminton Dunia 2025.

Menurut Herry, beregu No. 2 dunia itu gagal menampilkan watak juara apabila tewas kepada pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty di suku akhir, sekali gus menutup peluang Malaysia memburu gelaran dunia.

Jurulatih kelahiran Indonesia itu tidak berselindung bahawa persembahan Aaron-Wooi Yik jauh daripada tahap sepatutnya dan jelas mengecewakan.

“Saya sebagai jurulatih meminta maaf kepada warga Malaysia kerana gagal memberi satu lagi gelaran kejuaraan dunia 2025 dan itu amat mengecewakan.

“Untuk Aaron-Wooi Yik, penampilan mereka di luar jangkaan saya, mereka mampu lebih maju lagi ke suku akhir tetapi kali ini main di bawah prestasi sebenar, banyak kesilapan mudah dan bila cuba bangkit sudah terlalu lewat,” kata Herry.

Kekecewaan itu lebih dirasai kerana Aaron-Wooi Yik sebelum ini pernah bergelar juara dunia di Tokyo 2022, selain memiliki rekod pertemuan lebih baik menentang pasangan India tersebut.

Bagaimanapun, nada Herry lebih lunak apabila menilai persembahan satu lagi beregu lelaki kebangsaan, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang tumpas sengit 21-23, 23-21, 15-21 kepada gandingan No. 1 dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.

Menurutnya, Wei Chong-Kai Wun menunjukkan perkembangan positif dari segi perancangan permainan meskipun masih belum mampu menyaingi ketahanan fizikal dan mental lawan.

“Kalau lihat penampilan pertama Wei Chong-Kai Wun , mereka terbaik. Masa lawan pasangan Korea di (Terbuka) Jepun sangat baik, set pertama deuce, set kedua deuce dan set ketiga hanya sedikit kesilapan di mata penting,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN