Tiga rekod 4x100m MSSM lebur di Kangar

Tiga rekod 4x100m MSSM lebur di Kangar

AKSI atlet dalam acara 4x100 meter bawah 18 tahun (B-18) lelaki pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2025 kali ke-65 di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, kelmarin. Acara itu dimenangi oleh kuartet Sabah dengan catatan 40.89 saat yang juga rekod baharu kejohanan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Trek balapan di Stadium Tuanku Syed Putra terus membawa ‘tuah’ kepada atlet remaja apabila tiga lagi rekod acara lari berganti-ganti 4×100 meter (m) diperbaharui pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2025 di sini, kelmarin.

Terdahulu, trek berkenaan turut menyaksikan rekod kejohanan tiga acara 100m berjaya dipecahkan masing-masing bagi kategori lelaki dan perempuan bawah 18 tahun (B-18) serta perempuan B-12.

Dalam aksi 4×100m pada hari ketiga kejohanan, rekod yang berjaya diperbarui masing-masing bagi kategori lelaki dan perempuan B-18 serta lelaki B-15.

Meskipun beraksi dalam hujan dengan keadaan trek basah serta licin, namun tidak menghalang pasukan dari Sabah, Terengganu dan Selangor mencipta sensasi dalam acara tersebut.

Kuartet Sabah bagi lelaki B-18 yang terdiri daripada Mohamad Zaidy Kadir, Airi Amani Kahar, Carlson Camilus dan Muhammad Muzaffar Shah Abdul berjaya melakar catatan masa 40.89 saat (s), sekali gus meleburkan rekod kejohanan terdahulu dicatatkan Kedah dengan masa 40.92s.

“Kami dapat mengekalkan momentum larian sehingga garisan penamat, sekali gus memecahkan rekod kejohanan yang pernah dicatatkan sebelum ini. Selepas ini, saya juga fokus untuk acara seterusnya iaitu 200 meter dengan sasaran podium,” kata Muhammad Muzaffar.

Sementara itu, kuartet Terengganu bagi kategori perempuan B-18 yang diwakili oleh Nurin Aira Rusdi, Nur Aliya Najihah Muda, Nur Farisha Ardeana Ardy Abdullah dan Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira pula mencatat masa 47.45s, sekali gus memadamkan rekod kejohanan yang dilakar pada MSSM Johor 2024 iaitu 47.65s.

Menurut Izzatul Musfirah, biarpun dalam keadaan hujan dan trek basah, namun dia dan pasukan masih dapat mengekalkan rentak larian sehingga ke garisan penamat untuk berjaya memenangi pingat emas seterusnya memecahkan rekod kejohanan.

“Meskipun larian agak sedikit perlahan namun kami dapat mengekalkan rentak sehingga ke garisan penamat. Sebenarnya kami juga sedikit terkejut dapat pecah rekod sebab Johor merupakan pencabar terdekat dalam acara ini.

Keyakinan untuk menang dan memecahkan rekod itu ada pada awalnya, namun setiap pelari tidak mahu terlalu yakin bagi menggelakkan daripada melakukan kesilapan,” katanya.

Dalam pada itu Kuartet dari Selangor, turut cemerlang apabila memenangi pingat emas acara 4x100m lelaki B-15 dengan cacatan 41.99s dengan memadamkan rekod kejohanan acara tersebut iaitu 42.25s.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN