PETALING JAYA: Selepas memastikan pingat pertama beregu campuran Malaysia di Kejohanan Badminton Dunia dalam tempoh 19 tahun, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei memilih untuk tidak terlalu larut dengan ‘euforia’ kejayaan tersebut.
Pasangan pilihan keempat itu mara ke separuh akhir di Paris semalam, sekali gus mengesahkan sekurang-kurangnya pingat gangsa, namun mereka menegaskan fokus kini sepenuhnya terarah kepada cabaran separuh akhir, hari ini.
Ee Wei mengakui pencapaian itu amat bermakna kerana perjalanan mereka bukan sesuatu yang mudah sejak digandingkan bersama.
“Ianya amat bermakna kerana ini bukan perjalanan yang mudah bagi kami. Sejak kami digandingkan, banyak cakap-cakap (negatif) timbul, dan kami berjaya mengatasinya. Kami hanya berharap kami dapat kekal berpijak di bumi nyata dan terus fokus untuk pusingan seterusnya.
“Ianya memberi lebih banyak motivasi. Saya harap semua cakap-cakap ini tidak menjejaskan kami kerana sebagai pemain. Kami perlu berjuang untuk negara kami juga. Saya harap semangat itu akan terus membara dalam diri saya,” kata Ee Wei.
Beraksi di Adidas Arena, pasangan pilihan keempat kejohanan itu tampil penuh bergaya apabila menyingkirkan gandingan India No. 17 dunia, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto dengan kemenangan straight set 21-15, 21-13.
Dalam pada itu, Tang Jie mengakui mereka tidak mahu terlalu memikirkan soal sejarah atau pencapaian peribadi, sebaliknya mahu segera menyiapkan diri bagi aksi separuh akhir.
“Seperti yang saya katakan tadi, setiap orang profesional dalam bidang mereka. Sebagai atlet pun sama, sebagai pemain badminton pun sama. Mereka boleh komen, tetapi kami tahu apa yang kami lakukan di dalam dan di luar gelanggang. Jadi, kami hanya fokus pada diri sendiri.
“Kerja kami masih belum selesai. Jadi kami akan fokus dan tidak memikirkan apa maknanya ini kepada kami, sebaliknya fokus pada perlawanan esok (hari ini),” kata Tang Jie.
Untuk rekod, beregu campuran legenda negara, Koo Kien Keat-Wong Pei Tty menghadiahkan gangsa pada edisi 2006 di Madrid, Sepanyol dan sejak itu tiada lagi pasangan campuran negara berjaya menembusi kelompok empat terbaik dunia.-UTUSAN
KAPSYEN: AKSI Chen Tang Jie-Toh Ee Wei ketika berdepan pasangan India,Dhruv Kapila-Tanisha Crasto di suku akhir Kejohanan Dunia, semalam.- AFP










