SUKMA 2026 paling mesra wanita

SUKMA 2026 paling mesra wanita

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA Selangor di Shah Alam, hari ini. - IHSAN KBS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 bakal mencipta sejarah sebagai edisi paling inklusif dengan pelbagai pembaharuan dasar yang memberi keutamaan kepada pembangunan atlet dan pegawai wanita.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, antara pembaharuan utama ialah pelaksanaan kuota wanita dalam kalangan pegawai, sukarelawan dan kontinjen serta pengekalan acara sukan wanita walaupun tidak mencapai penyertaan minimum enam negeri.

“Ini adalah perubahan besar, satu perubahan penting untuk memastikan atlet wanita tidak lagi digugurkan hanya kerana kekurangan penyertaan negeri seperti dalam SUKMA terdahulu.

“Kita menyedari ada kekurangan bajet tetapi kita nak bantu untuk meratakan jurang penyertaan golongan wanita.

“Itu sebab kita buat peraturan baharu ini dan semua bersetuju bahawa peraturan ini perlu dilaksanakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA, di Shah Alam, hari ini.

Sementara itu, mesyuarat turut memutuskan bahawa sukan tinju dan sofbol kini menjadi sukan wajib SUKMA bermula edisi 2026, menjadikan jumlah keseluruhan sukan wajib meningkat kepada 30 jenis.

Menurut Hannah, keputusan itu dibuat tanpa perdebatan panjang kerana kedua-dua sukan tersebut telah pun dipertandingkan di peringkat Sukan Olimpik dan selari dengan hala tuju pembangunan sukan negara.

“Untuk perbincangan hari ini, satu saja faktor yang dipertimbangkan iaitu mereka merupakan Sukan Olimpik, jadi tak perlu debat, tak perlu bahas.

“Kita harus menyokong kerana kita nak ada konsistensi dalam pembangunan sukan kita supaya semua pasukan dan pelaburan yang kita ada ini boleh capai peringkat tertinggi iaitu Sukan Olimpik,” katanya.

Selain itu, empat sukan tambahan yang diluluskan untuk SUKMA 2026 ialah catur, e-sukan, kriket dan kabaddi, menjadikan keseluruhan 34 sukan dipertandingkan dari 15 hingga 24 Ogos 2026 di sembilan daerah seluruh Selangor.

Dalam pada itu, Hannah turut menyeru semua Menteri Besar untuk memperuntukkan bajet mencukupi kepada portfolio Belia dan Sukan negeri masing-masing agar semua dasar dan pembangunan yang digariskan dapat dilaksana dengan berkesan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN