PETALING JAYA: Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Juniors bangkit menebus kekecewaan musim lalu dengan penuh bergaya apabila menjulang kejuaraan Divisyen 2 Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2025.
Kejuaraan tersebut sekali gus menaikkan pangkat SSTMI Juniors ke saingan Divisyen 1 musim depan.
Dalam final sengit di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, kelmarin, SSTMI mengatasi Negeri Sembilan 3-1 menerusi penentuan penalti shoot-out selepas terikat 3-3 dalam masa permainan sebenar.
Kemenangan ini bukan sekadar mengangkat kembali maruah SSTMI, malah membuka laluan ke suku akhir Piala TNB 2025 yang akan bermula 19 Ogos ini.
Negeri Sembilan selaku naib juara turut akan beraksi di saingan Divisyen 1 pada musim akan datang.
Wira di gawang, penjaga gol SSTMI menjadi pemisah kemenangan apabila cemerlang menafikan tiga percubaan penalti lawan.
Penolong jurulatih, Muhammad Haizzat Noor Azmi menyifatkan kejayaan itu sebagai bukti kebangkitan pasukannya selepas terpaksa turun ke Divisyen 2 musim ini.
“Syukur, sasaran utama kami tercapai. Memang ada kesilapan di pertahanan dan peluang yang terlepas, tetapi semangat pemain untuk mengheret aksi ke penentuan penalti cukup luar biasa,” katanya.
Jelas Haizzat, misi seterusnya adalah memperkukuh segala kelemahan sebelum mengharungi saingan lebih getir di Divisyen 1 dan Piala TNB.
“Divisyen 1 jauh lebih mencabar. Kami akan buat persiapan rapi dari semua aspek,” tegasnya.
SSTMI Juniors sebelum ini pernah beraksi di Divisyen 1 sebelum diturunkan musim ini dan kejayaan sulung 2025 menjadi pemangkin semangat memburu slot separuh akhir Piala TNB bersama ‘abang’ mereka, SSTMI Thunderbolts. – UTUSAN