KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif optimis Hakim Danish Ramli bakal melakukan penampilan sulung menerusi tiket jemputan (wild card) pada Grand Prix Motosikal Malaysia 2025 pada Oktober ini.
Beliau berkata, setakat ini, perkembangan mengenai tiket wild card Hakim Danish positif dan pihaknya berjanji akan menjadikan ia sebagai satu kenyataan kerana ramai peminat mahu menyaksikan pelumba muda itu beraksi di Sepang.
“Saya juga berharap kalau Hakim Danish menang Piala RedBull MotoGP Rookies tahun ini, dia akan dapat menyertai Moto3 secara automatik pada tahun depan dan kita bakal ada kembali pelumba Malaysia dalam Kejuaraan Dunia,” katanya.
Bagaimanapun, SIC hanya mempunyai masa tidak sampai dua bulan bagi menyelesaikan isu tersebut sebelum membuat pendaftaran kepada Dorna (pemegang hak pengajuran MotoGP).
Menurut Azhan Shafriman, buat masa ini, pihaknya telahpun selesai menyediakan kertas kerja untuk di bawa kepada Lembaga Pengarah SIC.
“Kita tak ada lagi jumlah kos untuk wild card, tetapi kertas kerja telahpun dibuat dan harap kita dapat keputusan daripada pihak lembaga pengarah dan juga KBS (Kementerian Belia dan Sukan), sebaik sahaja dapat keputusan, kita akan buat pengumuman,” katanya.
Walaupun turut mendapatkan restu daripada KBS, beliau berkata, keputusan masih bergantung sepenuhnya kepada SIC, cuma mengenai isu penajaan, pihaknya amat memerlukan sokongan syarikat korporat.
Katanya lagi, bagi mana-mana syarikat swasta yang sudi untuk menaja, SIC akan meletakkan jenama penaja di motosikal Moto3 yang bakal dipacu Hakim Danish ataupun pada sut pelumba dan di pit pasukan.
Mengulas mengenai prestasi Hakim Danish di Eropah, Azhan Shafriman berkata, anak muda itu kini mendahului perlumbaan RedBull MotoGP Rookies serta menghuni tangga ketujuh dalam JuniorGP dan prestasi baik tersebut sedikit sebanyak membantu pihaknya melaksanakan tugas bagi permohonan tiket wild card.-UTUSAN