PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, Sarjit Singh mahu menambah sekurang-kurangnya dua pakar pukulan sudut penalti bagi memperkukuhkan Speedy Tigers.
Skuad negara ketika ini sedang melakukan persiapan bagi mengharungi kempen Piala Asia yang akan berlangsung di India pada 27 Ogos hingga 7 September ini.
Ketika ini, Syed Syafiq Syed Cholan, Muhamad Faris Harizan dan Muhamad Arif Syafie Ishak antara individu yang ditugaskan mengambil pukulan sudut penalti dalam skuad kendalian Sarjit.
Pakar pukulan sudut penalti Pakistan, Sohail Abbas menjadi individu yang bertanggungjawab untuk melahirkan flicker berkualiti buat Speedy Tigers dan Sarjit akui perkembangan positif telah dipamerkan oleh mereka.
“Sohail melakukan tugas dengan dengan baik. Macam saya cakap sebelum ini, kita tak boleh dapatkan keputusan segera, kena beri dia masih masa. Ketiga-tiga flicker kita (Syed Syafiq, Faris dan Arif) semakin baik.
“Lepas ini kita nak cuba dapatkan lebih ramai flicker. Cuba dapatkan lagi dua. Ikutkan ada empat termasuk Andywalfian (Jeffrynus) tetapi lepas kejohanan ini dia akan sertai pasukan remaja sebab dia beraksi untuk Piala Dunia Remaja.
“Piala Sultan Azlan Shah pada November ini kita ada tiga flicker jadi kita cuba dapatkan lagi dua,” katanya.
Sarjit berkata, Mohamad Akhimullah Anuar Essok dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal kini sedang diasah bakat mereka untuk diberikan tugas sebagai flicker.
“Sekarang kita cuba Akhimullah dan Azrai. Kita cuba sebab kita lihat mereka berdua ini ada bakat. Diharapkan mereka dapat beraksi sebagai flicker di Piala Sultan Azlan Shah nanti sebab mereka berdua baru pulih daripada kecederaan,” katanya.-UTUSAN