NEW YORK: Aryna Sabalenka mempertahankan status juara bertahan dengan aksi penuh berkarakter apabila menewaskan Rebeka Masarova 7-5, 6-1 pada aksi pusingan pertama Terbuka Amerika Syarikat (AS) semalam.
Perlawanan bermula sukar buat pemain No. 1 dunia itu apabila lawan dari Switzerland berani menekan sejak awal di gelanggang Arthur Ashe.
Sabalenka mengakui dia lega dengan kemenangan tersebut walaupun bermula perlahan pada set pertama.
“Saya gembira dengan kemenangan ini dan gembira dapat ke pusingan kedua. Pada awal permainan saya tidak bermula dengan baik, tetapi selepas itu saya mula temui rentak,” kata Sabalenka.
Sementara itu, kejutan besar pula berlaku apabila pilihan ke-24, Veronika Kudermetova disingkirkan pemain kelayakan Indonesia, Janice Tjen 6-4, 4-6, 6-4.
Tjen yang muncul wakil Indonesia pertama ke undian utama Grand Slam selepas 21 tahun menyifatkan kemenangan itu sebagai detik membanggakan buat negaranya.
“Kemenangan ini sangat bermakna untuk saya. Saya berasa bangga dapat melakukan perkara ini untuk negara saya,” kata Tjen.
Selain itu, Clara Tauson turut menerima nasib sama apabila pilihan ke-14 dari Denmark itu tunduk tipis 6-3, 2-6, 7-6 (13/11) kepada bintang muda Filipina, Alexandra Eala.
Dalam acara lelaki pula, Taylor Fritz dan Ben Shelton memastikan sorakan penyokong tuan rumah berterusan apabila mara dengan kemenangan straight set yang penuh bergaya kepada lawan masing-masing. – AGENSI