PETALING JAYA: Pelumba Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Muhammad Afif Amran dan Muhammad Akid Aziz mendominasi kedudukan 1, 2 dalam perlumbaan CP150 pusingan keenam pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas MAM di Litar Antarabangsa Sepang, kelmarin.
Muhammad Afif muncul selaku pelumba terpantas menerusi catatan masa 14 minit 03.643 saat (s), diikuti Muhammad Akid di kedudukan kedua (14:11.228s) dan Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Estremo Yuzy Racing di tempat ketiga (14:11.319s).
Pelumba Maeztro SCK Honda Racing Team, Muhammad Helmi Azman pula sekadar berpuas hati di tempat keempat dengan lakaran masa 14:11.401s dan tangga kelima menjadi milik Muhammad Iqbal Amri Abdul Malek dari TKKR Racing Team menerusi catatan masa 14:11.439s.
Ketika ditemu bual selepas perlumbaan berakhir, Muhammad Afif berkata, sejak awal perlumbaan lagi dia telah mula memacu laju jenteranya.
“Apabila saya lihat kumpulan kedua sudah mula ketinggalan sedikit, saya ambil keputusan untuk cuba meloloskan diri lebih awal.
“Alhamdulillah, strategi itu berhasil hingga ke garisan penamat, saya berjaya menamatkan perlumbaan dan meraih kemenangan ini,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Izam Ikmal Izamli juga dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing menjuarai kategori CP125, selepas mendapat tentangan hebat daripada pelumba Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing, Muhammad Syamil Amsyar Muhammad Iffende sehingga ke hujung aksi.
Catatan masa terpantas 10:50.980s sudah cukup untuk Muhammad Izam memenangi perlumbaan tersebut, manakala, Muhammad Syamil di kedudukan kedua (10:51.230s) dan pelumba Zynergy’s Honda KC Racing Team, Muhammad Idlan Haqimi Raduan di tempat ketiga (10:51.310s).
Untuk saingan kategori Wira KBS pula, aksi Muhammad Akif Abdullah dari Zynergy’s Honda KC Racing Team mencuri tumpuan apabila dia melakukan kebangkitan dramatik dalam perebutan sengit sehingga ke garisan penamat.
Anak muda itu muncul juara dengan catatan masa 9:46.327s, manakala, tempat kedua dimenangi oleh Rayyan Khardanee Md Sanusi dari Petronas Yamaha-31 Racing (9:46.382s) dan kedudukan ketiga menjadi milik rakan sepasukan Rayyan, Farres Putra Md Fadhill (9:46.418s).-UTUSAN