KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto optimis gandingan utama negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei berada di landasan terbaik untuk meraih pingat sulung mereka di Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Paris, Perancis.
Berdasarkan undian, beregu pilihan keempat itu dijangka tidak berdepan cabaran besar untuk mara ke separuh akhir sebelum potensi bertemu beregu Indonesia sedang meningkat naik, Jafar Hidayatullah–Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu di pusingan ketiga.
Nova menegaskan, status pilihan keempat memberi kelebihan kerana pasangan negara dapat mengelak dua beregu handalan China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dan Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin sehingga peringkat separuh akhir.
“Bila tengok kedudukan, peluang mereka memang lebih besar dan saya rasa mereka seharusnya sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir untuk bawa pulang pingat.
“Kita tahu Malaysia hanya sekali menang pingat di acara beregu campuran Kejohanan Dunia, jadi jika Tang Jie–Ee Wei berjaya melakukannya, itu pencapaian yang amat bermakna, apatah lagi mereka sedikit bergelut musim ini,” kata Nova.
Bagaimanapun, bekas juara dunia 2007 bersama Liliyana Natsir itu mengingatkan bahawa keupayaan mengatasi detik sukar di gelanggang akan menjadi penentu kejayaan gandingan tersebut.
Katanya, kelemahan terbesar pasangan itu ialah kegagalan mengekalkan permainan ketika diasak lawan atau apabila mendahului tetapi dikejar, sekali gus mengganggu rentak dan fokus mereka.
“Dalam kejohanan besar, tak semua perlawanan bermula dengan permainan terbaik, jadi mereka kena cari cara menang walaupun permainan tak menjadi,” tegasnya.
Selain Tang Jie–Ee Wei, Malaysia turut diwakili dua lagi pasangan, Goh Soon Huat–Shevon Lai dan Hoo Pang Ron–Cheng Su Yin yang berpotensi bertembung sesama sendiri di pusingan ketiga.
Untuk rekod, satu-satunya pingat hadir pada acara beregu campuran adalah menerusi legenda negara, Koo Kien Keat-Wong Pei Tty yang meraih gangsa pada edisi 2006 di Madrid, Sepanyol.-UTUSAN