PETALING JAYA: Jurulatih Brunei DPMM FC, McAllister James Reynolds janji anak buahnya akan bangkit pada perlawanan seterusnya selepas tewas 3-0 oleh Selangor FC, malam tadi.
Pengendali dari Scotland itu mengakui anak buahnya perlu segera memperbaiki permainan selepas dua aksi awal Liga Super musim ini kurang memberangsangkan dengan seri 2-2 dengan PDRM FC pada perlawanan pembukaan, sebelum dikecewakan Gergasi Merah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya(MBPJ).
“Kami perlu tingkatkan prestasi dan saya percaya kami mampu bangkit. Dua keputusan sebelum ini kami ambil secara positif. Kritikan penyokong tidak akan menjejaskan fokus kami.
“Kami akan tampil untuk lebih menyerang dan agresif pada perlawanan seterusnya,” tegas McAllister.
Beliau turut mengakui pasukan Selangor adalah lawan yang mempunyai barisan pemain yang berkualiti tinggi yang sukar ditembusi.
“Separuh masa pertama, kami ada peluang tapi gagal disudahkan. Awal separuh masa kedua, kami cuba bangkit dan mencipta gerakan, namun sepatutnya 20 minit awal itu kami lebih kukuh bertahan. Malangnya, kami bolos juga,” katanya.
Brunei DPMM FC, yang kembali menghiasi Liga Malaysia selepas kali terakhir pada 2008, dikejutkan seawal minit kelima menerusi jaringan pemain import Thailand, Kevin Deeromram.
Deeromram sekali lagi menghukum kelekaan pertahanan pelawat pada minit ke-36 sebelum penyerang Brazil, Chrigor Moraes melengkapkan kemenangan bergaya Selangor pada minit ke-67.-UTUSAN