PETALING JAYA: Ketua jurulatih DPMM FC, McAllister James Reynolds menegaskan perjuangan pasukannya masih jauh biarpun meraih kemenangan 3-2 ke atas Kuching dalam aksi pertama Piala FA 2025/26 di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, kelmarin
Katanya, kemenangan sulung itu wajar diraikan kerana menjadi tonik terbaik selepas permulaan hambar dalam saingan Liga Super.
Namun, beliau mengingatkan pemain supaya tidak terlalu leka kerana 90 minit lagi bakal menanti dalam aksi timbal balik di tempat lawan bulan depan.
“Kami gembira dengan kemenangan ini, tetapi ini baru babak pertama. Masih ada baki perlawanan dan kami perlu lebih fokus.
“Dua gol yang kami bolos berpunca daripada kesilapan mudah, tetapi saya bangga dengan reaksi pemain yang bangkit menunjukkan karakter sebenar,” katanya selepas perlawanan.
Jurulatih dari Scotland itu memuji ketajaman jentera serangan, terutama jaringan penyudah Miguel Oliviera dan gol kemenangan daripada Jordan Murray yang baru pulih daripada kecederaan buku lali.
“Ia kemenangan bermakna buat pemain, penyokong dan kelab. Kami akan gunakannya sebagai platform membina keyakinan,” katanya.
Sementara itu, jurulatih Kuching City, Aidil Sharin Sahak tidak mahu mengulas insiden gol yang dibatalkan dan bertukar kepada sepakan penalti, sebaliknya memilih untuk fokus kepada perlawanan timbal balik di Kuching.
“Kalau saya komen, poket saya yang ‘kering’. Bagi saya, keputusan itu jelas selepas saya lihat semula gambar, tetapi perlawanan sudah berakhir. Kami perlu teruskan dan belajar daripadanya.
“Kami akur kalah 3-2 namun ini masih belum berakhir untuk kami dan kami masih ada perlawanan di tempat sendiri untuk bermain,” katanya.-UTUSAN