HUNGARY: Pelumba Ducati, Marc Marquez terus memburu gelaran kejuaraan dunia ketujuh apabila dengan mudah dia mengungguli saingan Grand Prix (GP) Hungary, kelmarin.
Marquez turut mencatat kemenangan berganda buat kali ketujuh berturut-turut dalam perlumbaan pecut dan MotoGP apabila dia menewaskan Pedro Acosta dari KTM manakala Marco Bezzecchi (Aprilia) di tempat ketiga.
Pelumba berusia 32 tahun itu memulakan saingan dengan teruk di Litar Balaton Park apabila dia hampir terjatuh selepas terlanggar Bezzecchi di selekoh kedua.
“Saya tidak jangka dia memperlahankan motosikal sebegitu dan saya terlanggar dia, tetapi nasib baik kami berdua berjaya kekal di atas motosikal, itu satu kelegaan besar.
“10 pusingan pertama sangat mencabar tetapi apabila saya memimpin, saya berjaya mengekalkan rentak yang sangat baik. Jentera Aprilia semakin kompetitif tetapi motosikal kami masih mengatasi mereka dan saya sangat gembira,” kata Marquez.
Marquez kini mendahului kejuaraan dengan kelebihan 175 mata mengatasi adiknya, Alex Marquez yang hanya mampu menamatkan saingan di tempat ke-14 dengan baki lapan perlumbaan musim ini.
Sementara itu, Bezzecchi mengakui dia berasa berpuas hati dengan prestasinya pada perlumbaan tersebut walaupun terdahulu pelumba dari Itali itu mengalami masalah gugup.
“Saya menunggang dengan terlalu gugup pada Jumaat lalu (sesi latihan bebas) dan membuat banyak kesilapan tetapi sesi kelayakan pada Sabtu mengubah segalanya,” katanya. – AFP