Malaysia tuan rumah pusingan akhir Piala Dunia Trek

Malaysia tuan rumah pusingan akhir Piala Dunia Trek

Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom akan menambah seri saingan Kejohanan Trek Piala Dunia .
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) secara rasminya telah memilih Malaysia sebagai venue pusingan terakhir Kejohanan Trek Piala Dunia pada 2026.

Kejohanan berprestij itu akan berlangsung pada 24 hingga 26 April 2026 di Velodrom Nasional, Nilai dan kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah ialah pada edisi 2001 di Ipoh, Perak.

Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) yang juga Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill menyifatkan ia detik bersejarah Malaysia.

“Kejohanan ini akan menjadi landasan utama kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 dan faktor ini sangat penting buat pelumba Malaysia serta Asia.

“Kami amat berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta UCI atas keyakinan mereka terhadap kemampuan kita,” katanya.

Beliau optimis penyertaan nama besar seperti Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom akan menambah seri saingan di gelanggang sendiri.

“Azizul masih ikon trek dunia manakala Shah baru membuktikan kemampuan dengan emas pada Piala Negara-negara di Turkiye, dan saya mahu mereka beraksi di Nilai,” ujarnya.

Dalam pada itu, Amarjit menegaskan penganjuran ini bakal melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai hab berbasikal Asia, selain menjadi hadiah bermakna menjelang sambutan Hari Kemerdekaan.

“Keputusan UCI ini sangat menggembirakan saya. Ianya umpama hadiah kepada semua pihak menjelang sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN